Saya menghabiskan masa selama 29 tahun di sini dan inilah satu-satunya pekerjaan saya dan sentiasa melakukan yang terbaik untuk CIMB. - Nazir Razak
Nazir Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Nazir Razak melahirkan rasa kesal terhadap penulisan Tan Sri Tommy Thomas dalam bukunya “My Story: Justice in the Wilderness” yang mengaitkan Allahyarham Tun Razak sebagai dalang tragedi 13 Mei 1969.

Bekas pengerusi Kumpulan CIMB itu berkata, apa yang ditulis oleh Tommy itu merupakan satu sangkaan tanpa secebis bukti pun untuk menyokong pandangan tersebut.

Katanya, bekas Peguam Negara itu berpandangan bahawa Tun Razak mendapat manfaat daripada rusuhan yang tercetus dan Allahyarham dalam keadaan tergesa-gesa mahu menjadi perdana menteri kerana telah dimaklumkan akan mati.

Pandangan tersebut, kata Nazir, tidak disokong oleh sebarang bukti, malah fakta bekas peguam negara itu salah kerana Tun Razak hanya disahkan menghidap barah pada November 1969 dan doktor berpandangan kemungkinan tekanan berhadapan dengan rusuhan kaum itu menjadi punca Allahyarham mendapat penyakit tersebut.

Nazir juga menepis rasa terkesima Tommy tentang keputusan Tunku Abdul Rahman melantik Tun Razak sebagai pengarah Majlis Gerakan Negara.

Katanya, Tunku Abdul Rahman membuat pilihan sendiri kerana yakin ia merupakan pillihan terbaik ketika itu malah beliau melantik Tun Dr Ismail sebagai menteri dalam negeri untuk membantu Tun Razak.

Nazir berkata, beliau juga terganggu dengan tulisan Tommy kononnya ratusan pemuda Melayu membawa parang dan keris sebagai punca utama rusuhan selain yakin adalah tidak sepatutnya hanya satu kumpulan dipersalahkan dalam hal tersebut.

Menurut Nazir, beliau percaya semua orang berhak untuk mempunyai pandangan sendiri terhadap sesuatu yang berlaku.

Namun, katanya, beliau memilih untuk berbeza pandangan dengan Tommy yang sebelum ini merupakan pegawai undang-undang tertinggi dalam kerajaan. – MalaysiaGazette

 

1 Komen

Comments are closed.