Halimah Mohamed Sadique

KUALA LUMPUR – Kementerian Perpaduan Negara akan mengemukakan pandangan dan rayuan masyarakat Cina berhubung makan besar keluarga dan kehadiran ke tokong pada 11, 12 dan 19 Februari sempena sambutan Tahun Baru Cina kepada Majlis Keselamatan Negara.

Menterinya, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, sebarang pengumuman berkaitan perkara tersebut yang dimasukkan dalam prosedur operasi standard (SOP) Tahun Baru Cina akan  diumumkan oleh Datuk Sero Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kanan Pertahanan.

Beliau berkata, penyediaan SOP Tahun Baru Cina yang diumumkan sebelum ini disediakan setelah kementerian ini berbincang dengan 21 Badan Pertubuhan Agama, Persatuan Kebudayaan Cina dan pihak-pihak berkaitan pada 12 dan 18
Januari 2021.

Semalam dalam satu kenyataan kementerian ini mengumumkan SOP sambutan perayaan Tahun Baru Cina.

SOP tersebut adalah seperti berikut:

1. Sambutan perayaan hanya DIBENARKAN di rumah kediaman bersama ahli keluarga dari rumah yang sama sahaja.

2. Aktiviti Majlis Makan Besar Bersama Keluarga juga hanya DIBENARKAN di rumah kediaman bersama
ahli keluarga dari rumah yang sama sahaja.

3. Upacara sembahyang adalah TIDAK DIBENARKAN. Semua penganut / masyarakat Cina digalakkan melakukan upacara
sembahyang di rumah masing-masing.

4. Aktiviti persembahan dan kebudayaan seperti persembahan tarian singa / tarian naga, perarakan “tanglung”, perarakan
“chingay” dan persembahan opera cina atau pertunjukan pentas adalah TIDAK DIBENARKAN.

5. Aktiviti ziarah rumah ke rumah adalah TIDAK DIBENARKAN.

6. Aktiviti rentas daerah dan negeri adalah TIDAK DIBENARKAN.

Kementerian Perpaduan Negara berkata, SOP ini adalah terpakai di seluruh negara kecuali Negeri Sarawak
yang masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat
(PKPB).

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker dalam kenyataannya berkata, seseorang telah melakukan kesilapan dalam pengumuman SOP itu dan ia mesti ditarik dan dibetulkan dengan cepat. – MalaysiaGazette