Datuk Zainuddin Yaacob menunjukkan barang-barang yang dirampas pada sidang media tangkapan sindiket penipuan pelaburan mata wang kripto emas Fintech” di Menara KPJ, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 05 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Satu sindiket pelaburan mata wang kripto emas Fintech yang berjaya memperdaya awam dan ‘membaham’ wang orang ramai berjumlah RM2.8 juta akhirnya tersungkur ditangan polis.

Modus operandi sindiket itu cukup licik sindiket dengan menawarkan pelaburan mata wang digital dan mendakwa menjalinkan kerjasama dagangan dengan exchanger terkenal dunia seperti Binance, Liquid, Kraken dan Okcoin.

Bagaimanapun sindiket itu berjaya dihidu dengan tertangkapnya sembilan suspek lelaki tempatan.

Kesemua suspek berusia lingkungan 34 hingga 62 tahun dan ditahan di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob hari ini.

Katanya, sindiket pelaburan yang beroperasi sejak April hingga Disember tahun lalu menawarkan pulangan antara 10 hingga 15 peratus setiap bulan dan menjanjikan dagangan matawang yang kononnya selamat serta menggunakan sistem canggih kepada pelabur.

“Modal pelaburan ini menggunakan matawang Kripto seperti Bitcoin dan USDT manakala para pelabur telah didedahkan dengan pelaburan ini melalui seminar-seminar yang dianjurkan melalui kaerah perjumpaan secara bersemuka dan Zoom Meeting.

“Menariknya sindiket emas Fintech ini akan menyampaikan seminar itu menerusi penama Ricky Wong sebelum pelabur yang hadir diberikan user dan login dalam laman web emas Fintech untuk melihat transaksi dagangan.

“Namun selepas Disember lalu tipu helah sindiket itu disedari pelabur apabila laman web itu tidak dapat diakses oleh para pelabur,” katanya dalam sidang media kejayaan pada hari ini.

Tambah beliau, sebanyak 43 laporan polis telah diterima daripada mangsa yang tertipu dan kehilangan wang kepada sindiket tersebut.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan masih terdapat ramai lagi mangsa tertipu dengan sindiket berkenaan dan menyeru mereka supaya tampil melaporkan kepada polis.

“Polis percaya suspek utama seorang lelaki berusia 32 tahun bernama Jason Kellady dari ParkLane OUG yang disyaki dalang utama pelaburan itu masih bebas dan sedang giat diburu untuk tindakan lanjut.

“Polis berjaya merampas lima kenderaan mewah antaranya Mercedes Benz, BMW dan Lexus disyaki dibeli hasil wang pelabur yang dileburkan, selain turut disita hard disk 10 kad ATM pelbagai bank, 12 kad kredit, 20 buah telefon bimbit pelbagai jenama dan enam komputer riba.

“Selain itu kita juga merampas satu tablet, cakera keras luaran, satu pasport antarabangsa Malaysia, rantai leher emas dan dokumen berkaitan pelaburan emas Fintech dan wang tunai RM27,600 yang kesemuanya berjumlah RM2 juta,” ujar beliau.

Kesemua suspek kini direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan siasatan dijalankan dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan juga denda.

Tegasnya, tindakan tegas mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dan Akta Pengubahan Wang Haram akan turut diambil ke atas kesemua suspek itu.

“Orang ramai jangan terpedaya dengan sindiket penipuan sebegini dan ingatlah bahawa hanya tiga syarikat sahaja yang dilesenkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) di negara ini iaitu Luno (M) Sdn.Bhd, Tokenize Technology (M) Sdn.Bhd dan Sinergy Technology (M) Sdn.Bhd,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast