Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

WASHINGTON – Pasukan peguam bekas Presiden Donald Trump pada Khamis menolak permintaan untuk anak guamnya memberi keterangan pada perbicaraan pendakwaan oleh Senat.

Pengurus pendakwaan utama Jamie Raskin mengirim surat kepada peguam Trump yang meminta beliau memberi keterangan sebelum atau semasa perbicaraan minggu depan, menurut Agensi Anadolu.

“Kami mencadangkan anda memberikan keterangan (termasuk pemeriksaan balas) seawal Isnin, 8 Februari 2021, dan selewat-lewatnya pada Khamis, 11 Februari 2021.

“Kami akan mengatur sesi tersebut mengikut waktu dan tempat yang sesuai dan dipersetujui,” tulis Raskin dalam surat itu.

Permohonan itu ditolak Peguam Bruce Castor dan David Schoen.

Menurut mereka Raskin tidak dapat membuktikan tuduhan terhadap bekas presiden itu dan Trump “kini warganegara bebas.”

Jason Miller, penasihat kanan Trump, juga memberitahu Domenico Montanaro dari Radio Awam Nasional bahawa Trump tidak akan memberi keterangan dalam perbicaraan itu.

“Presiden itu tidak akan memberi keterangan dalam proses yang tidak berperlembagaan,” katanya.

Trump menghadapi tuduhan menghasut rusuhan 6 Jan di Capitol Hill yang menyebabkan lima kematian.

Beliau satu-satunya presiden dalam sejarah Amerika Syarikat yang didakwa sebanyak dua kali.- BERNAMA