Dr Raha Abdul Rahim

KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menyambut baik pengumuman Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) membenarkan enam kategori pelajar berkeperluan kembali ke kampus secara fizikal seawal 1 Mac ini bagi mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara hibrid iaitu secara fizikal dan secara dalam talian.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, UTeM senada dengan tindakan itu bersama beberapa inisiatifmemperincikan lagi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang lebih khusus untuk pelaksanaan pada kali ini demi memastikan kebajikan pelajarnya.

Jelas beliau, secara umumnya ianya berteraskan enam kategori asas yang telah digariskan KPT seperti mahasiswa yang dibenarkan kembali ke kampus adalah program pengajian sijil, diploma, ijazah sarjana muda dan pasca siswazah yang memerlukan praktikal, makmal klinikal, latih amal, studio, bengkel dan peralatan khas; pelajar yang tidak mempunyai akses, persekitaran tidak kondusif bagi melaksanakan PdP dalam talian serta pelajar asasi atau setara dan diploma sedia ada di kampus.

Tiga lagi kategori yang terlibat adalah mahasiswa antarabangsa sedia ada dan baharu kecuali dari United Kingdom; mahasiswa berkeperluan khas terdiri daripada orang kurang upaya (OKU) serta mahasiswa yang menduduki peperiksaan Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET), antarabangasa dan badan profesional.

Menurut beliau, amalan sebelum ini bagi konteks pergerakan masuk ke kampus adalah menerusi aplikasi eTAP yang mana pelajar perlu membuat permohonan menerusi sistem ini bersama saringan kesihatan dan pihak pengurusan terbabit akan membuat pengesahan dan kebenaran masuk ke kampus.

”Namun pada kali ini UTeM mengemaskini dan memperincikan semula sistem dan SOP ini kepada pelaksanaan sistem yang lebih luas lagi skopnya demi memastikan pelajar UTeM sentiasa berada dalam keadaan selamat.

”Ianya ekoran situasi pandemik yang semakin meruncing dan persekitaran makin mencabar namun proses PdP secara hybrid ini perlu dilaksanakan dengan jayanya seiring dengan aspirasi KPT,” ujar beliau.

Dr Raha berkata, pemakluman khusus berhubung perincian SOP dan kaedah kemasukan pelajar ke UTeM akan dikeluarkan dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette