Setiausaha Agong Persatuan Seniman Malaysia, Hafiz Nafiah ketika sidang media mengenai isu Filem 'Babi' arahan En. Wee Meng Chee atau Namawee di Balai Polis Taman Melawati, Kuala Lumpur. foto AFIQ HAMBALI, 11 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) merayu kepada kerajaan untuk menetapkan prosuder operasi standard (SOP) bagi  golongan yang berkerja dalami ndustri kreatif sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dikuatkuasakan ketika ini.

Setiausahanya, Hafiz Nafiah berkata, walaupun akur dan sentiasa patuh dengan arahan  sepanjang PKP namun warga kerja industri kebanyakannya bekerja secara bebas (freelance) atau job basis.

Justeru jelas beliau, apabila dikuatkuasakan PKP, mereka tidak lagi dibenarkan menjalankan penggambaran dan tiada pendapatan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Kami juga mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga dan anak-anak kami serta hutang yang perlu dijelaskan.

“Sehubungan dengan itu, Seniman memohon agar kerajaan dapat mengeluarkan garis panduan atau SOP kepada kami untuk kami meneruskan penggambaran demi kelangsungan hidup dalam tempoh yang amat mencabar ini.

“Pihak penerbit juga terikat dengan kontrak bersama dengan stesen televisyen yang mempunyai dateline untuk menyiapkan sesebuah karya.

“Seniman sangat bimbang dan risau dengan ahli-ahli kami yang semakin terhimpit akibat wabak Covid-19 disebabkan tiada tawaran kerja yang menyebabkan keadaan kehidupan mereka semakin tertekan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hafiz menambah, Seniman percaya industri keatif juga adalah sektor yang penting di Malaysia seperti mana  sektor pengilangan dan pembinaan adalah penyumbang terbesar kepada kes harian Covid-19 di Malaysia setiap hari.

Namun katanya, sektor itu masih dibenarkan untuk terus beroperasi dan mengapa industri kreatif tidak dibenarkan beroperasi.

“Kami sedia mematuhi segala garis panduan dan SOP yang ditetapkan oleh pihak kerajaan.

“Seniman sekali lagi mendesak kerajaan untuk mengeluarkan garis panduan kepada warga industri Kreatif secepat mungkin untuk kami meneruskan penggambaran demi kelangsungan hidup kami dan keluarga.

“Kami percaya dengan kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sentiasa prihatin terhadap rakyat Malaysia termasuk kami dalam industri kreatif yang amat terjejas sekiranya kami terus tidak dibenarkan menjalankan penggambaran secepat mungkin.

“Seniman  juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada beliau, Datuk Ismail Sabri Yaakob sebagai Menteri Kanan Pertahanan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara atas keprihatinan terhadap kami warga industri kreatif Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette