Alexander Nanta Linggi ketika melawat sebuah kilang memproses dan pembungkusan minyak masak sawit polibeg 1kg di Dengkil. Selangor.

KUALA LUMPUR – Bekalan minyak masak paket 1 kilogram di pasaran mencukupi tetapi permintaan untuk minyak masak bersubsidi itu meningkat sejak kebelakangan ini, kata Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Ini kerana, terdapat pengguna membeli lebih daripada keperluan yang menyebabkan kehabisan stok di sesebuah premis runcit.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna itu berkata, sebagai langkah sementara, kementerian telah melaksanakan Arahan Penetapan Had Pembelian Minyak masak Pek Polybag 1 Kilogram di peringkat Peruncit bermula 19 Januari 2021, yang mana setiap pengguna hanya dihadkan 3 peket polibeg 1 kilogram untuk setiap pembelian.

Menurutnya, kekurangan bekalan minyak masak tersebut di sesetengah premis hanyalah bersifat sementara disebabkan kehabisan stok dan peruncit berkenaan sedang menunggu penghantaran baru dari pemborong mereka.

”Hasil tinjauan hari ini dan pemeriksaan pegawai penguatkuasa kami di seluruh negara termasuk pemeriksaan di bandar Muazam Shah, Rompin baru-baru ini, saya sangat berpuas hati bahawa bekalan minyak masak peket polibeg 1kg amat mencukupi,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Alexander meninjau kilang pengeluaran dan pembungkusan minyak masak sawit di Dengkil, Selangor susulan maklum balas mengenai kekurangan minyak bungkusan itu dalam pasaran.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, tambahnya, telah mendapat mandat dan peruntukan daripada kerajaan untuk melaksanakan Program bersifat People-Centric dan salah satunya menyediakan subsidi minyak masak peket polibeg 1kg pada harga kawalan untuk meringankan dan mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Menurutnya, sebanyak 60,000 metrik tan sebulan atau 720,000 metrik tan setahun minyak masak bersubsidi diperuntukkan dalam bentuk peket polibeg 1kg, bersamaan dengan 60 juta peket 1kg sebulan atau 720 juta peket 1kg setahun.

Jika dibandingkan dengan rakyat Malaysia yang berjumlah 32.7 juta orang, bermakna 1.8 kilogram sebulan atau 22
kilogram setahun untuk setiap rakyat (termasuk kanak-kanak).

Alexander berkata, terdapat 25 pengilang dan 296 syarikat pembungkus minyak masak di seluruh negara.

Bagi tahun 2020, jumlah pengeluaran minyak masak bersubsidi dan tidak bersubsidi adalah sebanyak 1,836,000 metrik tan setahun.

”Saya menyeru kepada pengguna untuk menggunakan aplikasi mobile Price Catcher untuk mengetahui premis peruncit yang mempunyai bekalan di sesebuah lokaliti. Contoh di Bandar Muadzam Shah itu membuktikan ketiadaan di sesebuah premis
peruncit bukan bermakna bekalan terputus, malah bekalan masih banyak di lebih dari tiga premis peruncit di bandar tersebut.

”Pegawai Penguatkuasa Kementerian di seluruh negara sentiasa membuat pemeriksaan setiap hari bagi memastikan barang keperluan asas sentiasa stabil dan mencukupi,” ujarnya.

Tambah beliau, bermula dari 1 Januari sehingga 4 Februari 2021, sebanyak 103,906 premis diperiksa termasuk sektor pengilangan, pembungkusan, pemborongan dan peruncitan minyak masak di seluruh negara.

Pada tahun 2020 hanya 79 kes telah dihasilkan melibatkan penyelewengan minyak masak dengan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM 664,856.00.

Dari 1 Januari sehingga 4 Februari 2021 di bawah Ops Rantai 7.0, sebanyak 35 premis yang terdiri daripada 12 premis pengilang dan 23 premis syarikat pemasaran am minyak masak telah diperiksa dan 31 Notis Pengesahan Maklumat Barangan dan 26
notis bertulis dikeluarkan di bawah Seksyen 21, AKHAP 2011.

Pengguna digalakkan untuk menyalurkan maklumat melalui saluran aduan yang disediakan untuk kemudahan pengguna : –
i. Portal e-aduan.kpdnhep
ii. Call Centre 1-800-886-800
iii. Emel [email protected]
iv. Aplikasi Mobile Ez ADU KPDNHEP
v. Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-8882 6088/6245
vii. Whatsapp Kementerian 019-279 4317 – MalaysiaGazette