Hiasan tanglung sempena Sambutan Tahun Baru Cina ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sebuah pusat beli belah Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 26 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Prosedur Operasi Standard (SOP) Tahun Baharu Cina akan dilonggarkan sedikit berbanding apa yang diumumkan.

Kemas kini SOP itu termasuk membenarkan “makan besar penyatuan” (reunion dinner) untuk ahli keluarga dalam lingkungan 10 kilometer diadakan pada malam sebelum Tahun Baharu Cina.

Sebelum ini, makan besar itu hanya dibenarkan untuk ahli keluarga yang duduk di dalam rumah yang sama.

Sinchew Daily melaporkan, kerajaan dijangka membenarkan makan besar itu dijalankan dengan tidak melebihi 20 orang untuk rumah teres dan tidak melebihi 10 atau 15 orang untuk pangsapuri, bergantung kepada keluasan unit.

Selain itu, pusat keagamaan juga dibenarkan dibuka pada hari sebelum, hari pertama dan juga hari kesembilan perayaan Tahun Baharu Cina.

“Hanya 30 orang dibenarkan pada satu-satu masa di pusat ibadat dan nyahkuman mesti dilakukan selepas ibadah untuk memastikan keselamatan semua orang,” kata sumber kepada Sinchew Daily.

Walau bagaimanapun, lawat-melawat yang merentas daerah serta aktiviti tarian singa dan naga tidak dibenarkan.

Menurut akhbar itu, SOP yang diumumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) belum dibincangkan dalam Jemaah Menteri sekali gus mewujudkan kontroversi dan kekeliruan.

Beberapa menteri dilaporkan tidak berpuas hati dengan SOP itu dan MKN justeru telah diarahkan untuk melakukan kemas kini.