Peluru berpandu Atmaca

ISTANBUL – Turki melakukan ujian pelancaran peluru berpandu dilengkapan peledak, kata Kementerian Pertahanan.

Rakaman video yang dikongsi Kementerian Pertahanan menunjukkan peluru berpandu buatan tempatan, Atmaca, yang dilancarkan dari kapal TCG Kınalıada mengenai sasaran di Laut Hitam.

Aktiviti ujian peluru berpandu anti-kapal jarak jauh yang dibangunkan oleh kontraktor pertahanan, Roketsan dilakukan di wilayah Sinop, utara Turki, menurut pejabat Gabenor Sinop.

“Musuh kami khuatir dengan produk domestik kami, Atmaca,” kata Pemerintah Tentera Laut, Laksamana Adnan Ozbal selepas ujian itu.

Presiden Turkey Defence Industries (SSB), Ismail Demir menerusi akaun Twitter berkata: ” Peluru berpandu anti-kapal pertama negara, Atmaca, berjaya memusnahkan sasaran apabila ia dilancarkan dari kapal TGC Kinaliada,”.

Pada September lalu, Demir berkata, pengeluaran Atmaca hampir mencapai skala besar.

Pada Julai lalu, peluru berpandu itu lulus ujian pelancaran jarak jauh.

Atmaca merupakan peluru berpandu berketepatan tinggi, jarak jauh, permukaan ke permukaan, anti-kapal yang boleh digunakan pada bot peronda, kapal kecil dan kapal perang.

Kini tentera laut Turki menggunakan peluru berpandu anti kapal, Harpoon, buatan Amerika Syarikat.

Negara itu dijangka menggantikannya dengan peluru berpandu Atmaca.

Peluru berpandu tersebut berkeupayaan menjangkau jarak lebih 200 kilometer yang mana ia boleh memberi ancaman kepada sasaran di luar jarak visual.

Pembangunan peluru berpandu anti kapal itu bermula pada 2009 dan penjanjian untuk menghasilkannya pada skala besar ditandatangani antara SSB dan Roketsan pada 2018.

Atmaca dijangka digunakan pada kapal perang yang dibina di bawah projek Kapal Nasional Turki (MILFEM) di samping kapal-kapal lain dan kapal selam yang kini menggunakan Harpoon. – MalaysiaGazette