Mohd Puad Zarkashi UMNO Deputy Prime Minister Ismail Sabri Yaakob cabinet reshuffle
Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Puad Zarkashi mencabar agar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya mengadakan sidang Parlimen selepas tempoh darurat tamat pada Ogos depan.

Beliau berkata, langkah itu bagi memperlihatkan sama ada Muhyiddin masih mempunyai majoriti sokongan ahli Parlimen atau sebaliknya.

“Apakah selepas Ogos, Agong akan beri perkenan supaya darurat disambung? Komen-komen negatif terhadap Muhyiddin dalam Facebook Istana Negara dedah Muhyiddin bukan Perdana Menteri popular.

“Parlimen mesti bersidang semula selepas Ogos. Beranikah Muhyiddin masuk Parlimen dengan sokongan 107 ahli Parlimen sahaja. Ada berani?” soalnya di Facebook hari ini.

Perikatan Nasional (PN) sebelum ini hilang dua sokongan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) iaitu Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (Padang Rengas) dan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (Machang) menarik sokongan kepada Muhyiddin.

Lebih daripada itu, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah turut berbuat perkara sama dan kini bersama Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Dia (Muhyiddin) ada 109 sokongan sahaja apabila Jazlan dan Nazri tarik balik sokongan,” katanya.

Dalam pada itu, Puad berkata, kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri turut tercabar apabila seramai 115 ahli Parlimen didakwa telah menghantar surat kepada Agong supaya sidang khas Parlimen diadakan ketika perlaksanaan darurat.

“Kalau 115 bermakna yang menyokong Perdana Menteri cuma tinggal 107. Cukup jelas Muhyiddin jadi Perdana Menteri dengan ehsan darurat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette