Saksi yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Developement Berhad (1MDB), Mohd Hazem Abdul Rahman hadir bagi perbicaraan kes 1MDB melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 08 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Bhd. (1MDB), Mohd Hazem Abd Rahman mendakwa beliau tersepit sehingga terpaksa berdiam diri walaupun ada kala tidak bersetuju dengan tindak tanduk ‘pihak atasan’, iaitu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Saksi ke-10 kes 1MDB itu berkata, hakikatnya Jho Low lebih berkuasa daripada semua aspek walaupun beliau mempunyai kedudukan tinggi dalam 1MDB.

Beliau mendakwa, budaya kerja di 1MDB adalah menerima arahan yang diberikan bulat-bulat atau tinggalkan sahaja syarikat tersebut tanpa berkata apa-apa.

Mohd Hazem berkata demikian di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah ketika sesi soal balas dengan peguam bela, Wan Aizuddin Wan Mohamad hari ini.

Mohd Hazem: Itu memang budaya kerja di 1MDB, terima arahan atau keluar sahaja dari situ.

Saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana Jho Low adalah orang kanan kepada Perdana (Menteri) pada masa itu. Jho Low yang uruskan 1MDB, jika saya bersuara maka itu akan menjejaskan karier saya.

Wan Aizuddin: Pernahkah Jho Low ugut untuk buang kamu?

Mohd Hazem: Tidak pernah.

Wan Aizuddin: Adakah beliau kata jika cuba tentang arahan Jho Low anda tidak akan ke mana-mana dalam 1MDB?

Mohd Hazem: Adalah lebih baik ikut arahan atau letak jawatan sahaja.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 08 FEBRUARI 2021.

Najib, 67, didakwa atas empat tuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan akan bersambung tengah hari esok memandangkan Najib serta pasukan pembelaannya menghadapi prosiding lain pada sebelah pagi.

Bagaimanapun ketika peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memohon penangguhan supaya kes lain dibicarakan  terlebih dahulu, Collin menolak permohonan tersebut dan menetapkan prosoding disambung pada waktu tengah hari. – MalaysiaGazette