Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) hari ini menempa satu lagi kejayaan dalam usaha pendigitalan dengan menjadi bank pertama di Malaysia menggunakan saluran pendaftaran mudah alih mobile onbording (MOB).

KUALA LUMPUR – Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) hari ini menempa satu lagi kejayaan dalam usaha pendigitalan dengan menjadi bank pertama di Malaysia menggunakan saluran pendaftaran mudah alih mobile onbording (MOB).

Perkara itu dilaksanakan untuk pelanggan runcit yang akan menyediakan perkhidmatan pembukaan akaun lengkap termasuk pengeluaran kad debit melalui janji temu.

Perkhidmatan perbankan melalui MOB akan mempercepatkan lagi proses pembukaan akaun sedia ada dan membolehkan pengeluaran nombor akaun dan kad debit dibuat dengan serta-merta.

MOB menggunakan peranti tablet dengan perisian khusus yang membolehkan pembukaan beberapa jenis produk Akaun Semasa dan Akaun Simpanan (CASA) serta Akaun Pelaburan seperti Al-Awfar dan iGain.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam,  Mohamad Muazzam Mohamed berkata, perkhidmatan itu mudah dan selamat digunakan apabila transaksi perbankan dilakukan dengan keberadaan kakitangan mengikut ruang dan waktu kelapangan pelanggan sendiri.

“Sebagai sebuah bank yang menekankan inovasi dan keselesaan, kami berhasrat untuk meningkatkan pengalaman pelanggan dan memastikan produk dan perkhidmatan Bank Islam seiring dengan trend dan keperluan semasa.

“Pengenalan MOB ini tepat pada masanya kerana Covid-19 tidak hanya menyukarkan pergerakan orang ramai tetapi juga meningkatkan keperluan kami untuk beralih ke perkhidmatan perbankan inovatif yang cekap dan menjamin keselamatan orang ramai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Muazzam, sebelum ini, Bank Islam telah memperkenalkan platform Pembukaan Akaun Maya (VAO) yang mana pelanggan boleh mengisi maklumat mereka secara atas talian namun memerlukan proses pengesahan diselesaikan di cawangan.

“Proses pembukaan akaun menggunakan MOB hanya akan mengambil masa enam minit termasuk penyediaan kad debit dan tiada sebarang caj dikenakan.

“Perkhidmatan hanya dengan janji temu ini tersedia di seluruh negara dari pukul 9 pagi hingga 10 malam pada setiap hari dan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan,” katanya.

Untuk membuat janji temu bagi perkhidmatan ini, pelanggan boleh mengisi borang secara atas talian di pautan https://vao.bankislam.com.my/sales/ dan kakitangan Bank Islam akan menghubungi pelanggan untuk mengesahkan permohonan tersebut.

Tambah Mohd Muazzam, pelanggan hanya perlu menyediakan MyKad dan dokumen sokongan lain yang berkaitan semasa janji temu.

“Bank Islam amat komited terhadap pematuhan SOP untuk memastikan keselamatan pelanggan dan kakitangan kami terus terjaga setiap masa.

“Ia termasuk memastikan kakitangan Bank Islam sihat, lokasi janji temu yang dipilih adalah selamat dan sentiasa mengamalkan penjarakan fizikal,” tegasnya.

MOB menggunakan peranti tablet dengan perisian khusus yang membolehkan pembukaan beberapa jenis produk Akaun Semasa dan Akaun Simpanan (CASA) serta Akaun Pelaburan seperti Al-Awfar dan iGain.

Ia bertujuan untuk memberikan kemudahan dan fleksibiliti kepada pelanggan di samping memberikan pengalaman perbankan yang selamat dan cekap, dengan mengambil kira situasi pandemik dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada masa ini. – MalaysiaGazette