Tangkap layar menunjukkan mangsa tercampak akibat dirempuh sebuah kereta di Jalan Tun Terang, Kampung Manjoi, Ipoh Perak baru-baru ini.

IPOH – Polis menafikan kemalangan membabitkan sebuah kereta dan motosikal di Jalan Tun Terang, Kampung Manjoi di sini pada Sabtu lalu satu kes langgar lari.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, siasatan mendapati pemandu kereta jenis Hyundai Sonata itu tidak melarikan diri selepas melanggar penunggang lelaki berusia 65 tahun.

Sebaliknya, pemandu wanita berusia 31 tahun itu pergi ke balai polis bagi melaporkan kejadian tersebut, katanya.

“Siasatan awal mendapati kereta dipandu wanita itu hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan motosikal ditunggang mangsa.

“Memang pada mulanya pemandu meneruskan perjalanan namun dia kembali ke tempat kejadian dan apabila melihat orang ramai berada di lokasi, dia ke balai untuk membuat laporan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah A. Asmadi, akibat kemalangan tersebut, mangsa patah kaki kanan dan kini menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.

“Kita sudah rakam percakapan pemandu wanita tersebut dan punca kejadian adalah disebabkan hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 21 saat menunjukkan sebuah kereta melanggar motosikal hingga menyebabkan penunggangnya tercampak ke atas jalan.

Rakaman televisyen litar tertutup itu juga seolah-olah menunjukkan pemandu kereta warna biru itu melarikan diri sebaik kejadian. – MalaysiGazette

Video Berkaitan