Anggota Polis Sempadan Indo-Tibet (ITBP) mencari mangsa yang terselamat setelah glasier Himalaya didapati pecah di kampung Chormi, Uttarakhand, India, semalam. foto agensi

LUCKNOW – Ratusan anggota tentera telah dikerahkan ke Himalaya India hari ini bagi membantu mencari sekurang-kurangnya 125 orang mangsa masih hilang selepas glasier pecah, mengakibatkan limpahan besar air sungai.

Polis berkata, aliran air dengan kuantiti yang besar melalui lembah sungai Dhauliganga memusnahkan semua yang berada di atas jalan.

“Rakaman video telefon bimbit yang dikongsi di media sosial juga menunjukkan limpahan deras air yang melalui lembah sempit di bawah loji jana kuasa, mengakibatkan jalan dan jambatan musnah.

“Sebilangan besar yang masih hilang juga dipercayai berada di loji jana kuasa Tapovan, bersebelahan empangan yang dihentam arus deras.

“Bagaimanapun, misi menyelamat telah difokuskan pada terowong sepanjang 2.5km (1.5 batu) di mana terdapat kebanyakan pekerja yang dipercayai terperangkap di situ,” katanya.

Jurucakap Pasukan Polis Sempadan Indo-Tibet, Vivek Pandey berkata, sebanyak 30 hingga 35 pekerja dipercayai masih berada di dalam terowong.

“Pasukan penyelamat sedang berusaha untuk masuk ke dalam bagi membantu mengeluarkan semua mangsa.

“Namun, masih belum ada hubungan suara atau isyarat yang didengar daripada terowong tersebut,” katanya.

Pada semalam, seramai 12 orang diselamatkan daripada terowong lain.

Menurut Ketua Menteri Uttarakhand, Trivendra Singh Rawat di akaun Twitternya, pentadbir daerah, jabatan polis dan badan pengurusan bencana sudah diarahkan untuk menangani bencana itu. – MalaysiaGazette