Kes jangkitan Covid-19 di Afrika Selatan mencecah 1.5 juta. foto Reuters

JOHANNESBURG – Afrika Selatan telah menghentikan pemberian vaksin yang dibangunkan oleh Univesiti Oxford-AstraZeneca setelah satu kajian menunjukkan keputusan yang “mengecewakan” terhadap varian baharu Covid-19.

Para saintis mendakwa varian tersebut merangkumi 90% kes Covid-19 baharu di Afrika Selatan.

Percubaan yang melibatkan kira-kira 2,000 orang mendapati vaksin berkenaan menawarkan “perlindungan minimum” terhadap kes ringan dan sederhana.

Tetapi pakar-pakar berharap vaksin ini tetap berkesan untuk mencegah kes yang teruk.

Afrika Selatan telah mencatatkan hampir 1.5 juta kes koronavirus dan lebih daripada 46, 000 kematian sejak wabak itu bermula – jumlah yang lebih tinggi daripada negara lain di benua itu.

Negara ini telah menerima satu juta dos vaksin AstraZeneca dan sedang bersiap sedia untuk memulakan vaksinasi.

Pada hari Isnin, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran agar tidak membuat kesimpulan mengenai keberkesanan vaksin Covid-19.

Dr Katherine O’Brien, Pengarah Imunisasi WHO berkata, vaksin Oxford-AstraZeneca akan memberi kesan kepada varian Afrika Selatan, terutama ketika proses pencegahan hospitalisasi dan kematian.

Dr O’Brien menekankan bahawa panel pakar WHO berpendapat, penggunaan vaksin tersebut perlu diteruskan terutama di daerah penularan virus.

Menteri Kesihatan Afrika Selatan, Zweli Mkhize berkata, kerajaannya akan mendapatkan nasihat lebih lanjut mengenai cara terbaik untuk meneruskan vaksin AstraZeneca berdasarkan penemuan tersebut.

Susulan itu, pada masa ini, kerajaan akan menawarkan vaksin yang dikeluarkan oleh Johnson & Johnson dan Pfizer dalam beberapa minggu lagi. – MalaysiaGazette