Penyampaian sumbangan banjir BSN di Johor oleh Pengarah Negeri BSN Johor, Shahrulnahar Jaafar baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Bank Simpanan Nasional (BSN) melalui BSN Care telah menyediakan bantuan khas dalam bentuk bekalan makanan berjumlah RM50,000 bagi mangsa yang terkesan akibat bencana banjir baru-baru ini.

Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil berkata, bantuan banjir itu bertujuan untuk meringankan beban mangsa yang terjejas akibat bencana alam ini.

“Bekalan makanan ini diagihkan kepada 500 buah keluarga di negeri Johor, Pahang, Kelantan, Terengganu dan akan diakhiri di Perak mengikut SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan pihak berkuasa tempatan.

“Bantuan ini diharapkan dapat membantu kelangsungan hidup pasca-bencana banjir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bantuan khas dalam bentuk bekalan makanan bagi meringankan beban mangsa akibat bencana banjir di Johor.

Menurut Jay, program bantuan kepada mangsa banjir itu di bawah salah satu teras dalam BSN Care iaitu komuniti yang memberi penekanan untuk menyediakan peluang bagi menjana kehidupan yang mapan dan impak sosial serta menyediakan bantuan keperluan asas.

BSN sebelum ini turut mengumumkan pelan bantuan banjir bagi membantu para pelanggannya yang terjejas melalui pelan penangguhan bayaran ansuran pembiayaan sehingga enam bulan.

Untuk keterangan lanjut mengenai pelan Bantuan Banjir ini, pelanggan boleh menghubungi Pusat Hubungan Pelanggan BSN melalui talian 1-300-88-1900 atau e-mel kepada [email protected]. – MalaysiaGazette