Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – “Cumanya rakyat kena online, sekolah kena online, bekerja kena online tetapi sumbangan dana oleh menteri tidak boleh buat online?”

Itu pertanyaan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mempertikaikan kenapa majlis penyampaian dana seorang menteri di Hulu Langat semalam tidak dilakukan secara dalam talian dalam keadaan penularan Covid-19.

Menurutnya, sejak negara dilanda Covid-19 dan PKP dilaksanakan, rakyat sentiasa diingatkan supaya menjaga penjarakan sosial untuk memutuskan penularan wabak.

“Jika ingkar arahan penjarakan sosial, rakyat perlu sediakan RM1,000 sebagai denda. Ini hukuman asas yang diketahui ramai.

“Mana-mana lokasi pun sama. Pasar malam, kedai runcit, pasar raya, stesen minyak, kedai ubat, kedai menjual santan. Perlu lihat kiri dan kanan. Wajib menjaga jarak.

“Tetapi semalam ada menteri dilaporkan bertemu 500 penduduk di Hulu Langat. Pada perkiraan saya 500 orang itu sangat ramai jumlahnya.

“Saya tahu untuk sampaikan sumbangan. Terima kasih diucapkan. Bukan saja sumbangan, tetapi pemberian peruntukan RM30,000,” ujarnya dalam Facebooknya hari malam tadi.

Ahmad Zahid berkata, selama ini kerajaan melarang aktiviti dalam perhimpunan ramai tetapi mempersoalkan kenapa menteri seolah-olah diberi pengecualian.

“Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mahu membantu menyahkuman atau sanitasi di kawasan-kawasan sekolah pun dihalang.

“Ini yang menjadi persoalan dalam kalangan rakyat. Saya memantau komen di Facebook ramai mengatakan ini double standard.

“Saya juga tertanya-tanya perlukah menteri ini dikenakan kompaun? Kelihatan mengingkari arahan dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara,” katanya.- MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.