Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Pejabat Perdana Menteri menafikan fitnah oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, kononnya perintah kuarantin tiga hari untuk Menteri yang melakukan lawatan ke luar negara diwartakan oleh kerajaan kerana Perdana Menteri enggan dikuarantin sekembalinya dari lawatan rasmi ke Indonesia.

Dalam kenyataan hari ini, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah diserahkan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah dan dipakaikan gelang pengawasan setibanya dari lawatan rasmi di Jakarta, Jumaat lalu.

Menurut kenyataan itu, Muhyiddin kini sedang menjalani kuarantin di rumah.

“Fitnah yang dilemparkan oleh Datuk Mohd Puad Zarkashi adalah berniat jahat untuk mencemarkan nama baik Perdana Menteri,” menurut kenyataan itu.

Pejabat Perdana Menteri menegaskan tindakan undang-undang akan diambil terhadap Mohd Puad sekiranya beliau gagal memohon maaf secara terbuka. – Bernama