Ibu pejabat Polis Petaling Jaya telah berjaya membuat serbuan pusat hiburan di kawasan Sea Park, Petaling Jaya, Selangor.

KUALA LUMPUR – Polis menahan empat lelaki dan tiga wanita warga tempatan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan yang didakwa ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Sea Park semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, serbuan dilakukan pukul 7.30 malam ketika mereka berada di dalam premis tersebut.

“Didapati kesemua suspek yang ditahan ketika sedang berkumpul dan berhibur adalah berumur 26 hingga 43 tahun dan merupakan pekerja premis tersebut.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, salah seorang daripada wanita warga tempatan yang merupakan pengurus premis tersebut telah gagal menunjukkan lesen perniagaan yang sah dalam menjual minuman keras,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kesemua suspek ditahan ketika sedang berkumpul dan berhibur di dalam premis tersebut,

Menurut Nik Ezanee, kesemua mereka telah dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 kerana melakukan kesalahan di bawah peraturan-peraturan pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan (Kawalan pergerakan) 2021.

“Polis juga turut merampas 12 botol minuman keras pelbagai jenama, dua keping resit jualan dan tiga keping kad pekerja ketika serbuan dilakukan,” tegasnya.

Kesemua suspek yang ditahan direman selama dua hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 76 Akta Eksais 1976 dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit berbahaya kepada nyawa. – MalaysiaGazette