Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Industri minyak sawit Malaysia menjana pendapatan sebanyak RM72.8 bilion melalui ekspot minyak sawit dan produk- produknya ke pasaran antarabangsa.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, Jumlah itu jauh lebih tinggi iaitu kira-kira 14.18 peratus berbanding RM63.73 bilion yang dicatatkan pada 2019 dan tertinggi semenjak tahun 2017 (RM77.9 bilion).

“Status industri sawit sebagai salah satu daripada empat penyumbang terbesar ekonomi di Malaysia selama 15 hingga 18 tahun kebelakangan ini membuktikan bahawa industri minyak sawit sangat penting kepada negara kecil yang membangun seperti Malaysia,” katanya pada majlis Pelancaran Kempen Sawit Anugerah Tuhan” secara maya, hari ini.

Mohd Khairuddin berkata, industri sawit memainkan peranan penting dalam menangani situasi pandemik Covid-19 yang dihadapi negara pada ketika ini.

Katanya, sabun dan pencuci yang merupakan antara medium terpenting sebagai pembasmi virus Covid-19 diperbuat daripada minyak sawit dan bahan asas alkohol pembersih tangan yang digunakan secara meluas untuk menghapuskan virus tersebut juga boleh dihasilkan dengan minyak sawit.

Ujarnya, secara tidak langsung, penggunaan produk berasaskan sawit juga telah membuka peluang perniagaan kepada pengusaha-pengusaha farmaseutikal pada waktu dan ketika yang mencabar ini.

“Menyedari hakikat ini, Kementerian Perusahaan Perladangan dan
Komoditi telah mengambil inisiatif menyempurnakan prapelancaran kempen Sawit Anugerah Tuhan pada 19 November lalu.

“Kempen ini bertujuan memberi kesedaran dan menyemai perasaan bangga dan penghargaan ke atas sumbangan besar minyak sawit kepada negara selama ini.

“Diterajui oleh Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), kempen ini akan menumpukan peranan minyak sawit dalam pembangunan sosioekonomi, pemakanan, kesihatan dan farmaseutikal, pemuliharaan alam sekitar serta industri makanan dan bukan makanan,” tambahnya.

Kata beliau, dalam kempen itu, pelbagai aktiviti promosi yang menggalakkan penglibatan semua lapisan masyarakat Malaysia serta menggabungkan elemen pendidikan, tarikan visual, nilai estetik serta penggunaan media sosial akan dilaksanakan sehingga ke penghujung tahun 2021.

“Kempen sebegini adalah permulaan yang baik untuk kita mencapai sasaran tersebut.

“Rakyat kita pasti menjadi benteng bagi melindungi komoditi pertanian utama negara kita ini sebagai permulaan untuk mengajak dunia bersama-sama kita memperjuangkan hakikat bahawa sawit adalah anugerah tuhan untuk alam,” katanya. – MalaysiaGazette