Seramai 13 pelanggan warga tempatan berhibur dengan melanggar SOP PKP di sebuah puat hiburan berjaya ditahan dan dikompaun RM1,000 seorang dalam kejayaan serbuan polis IPD Petaling Jaya.

KUALA LUMPUR – Seramai 13 orang yang berjoli di sebuah pusat hiburan walaupun larangan operasi berkuatkuasa sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerima padah apabila dikompaun RM1,000 setiap seorang.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya juga menahan seorang pengurus pusat berkenaan atas kesalahan mengingkari PKP.

Katanya, pasukan polis Petaling Jaya telah membuat serbuan di sebuah pusat hiburan di kawasan Dataran Mentari di sini semalam.

“Hasil pemeriksaan berjaya menahan 13 orang lelaki dan wanita yang sedang berhibur tanpa sedikitpun risau mengenai prosedur operasi standard (SOP) PKP yang harus dipatuhi.

“Kesemua 13 pelanggan itu dikenakan tindakan kompaun RM13,000 iaitu RM1,000 seorang kerana mengingkar SOP.

“Mengikut pecahan lapan daripadanya adalah lelaki berusia 30 hingga 57 tahun manakala selebihnya wanita tempatan yang diambil tindakan di bawah melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan(Kawalan Pergerakan)2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, Nik Ezanee memaklumkan polis turut melakukan empat tangkapan individu di pusat hiburan yang sama.

Menurut beliau, daripada empat suspek itu, seorang daripadanya merupakan lelaki tempatan dan seorang lagi lelaki warga asing.

“Hasil siasatan mendapati Lelaki warga tempatan berkenaan merupakan pengurus pusat hiburan itu yang berusia 35 tahun manakala warga asing itu merupakan pekerjanya berusia 32 tahun.

“Dua lagi individu yang ditangkap adalah wanita warga asing berusia 33 dan 38 tahun yang merupakan pelanggan turut berjoli di pusat hiburan itu,” ujarnya.

Suspek penjaga premis itu ditahan dan direman selama tiga hari dan disiasat di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63,Seksyen 76 Akta Eksais 1976 dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan.

Manakala pekerja dan pelanggan yang ditahan di dalam premis itu pula ditaha selama 14 hari.

Mereka akan disiasat di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan (Perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa).

“Polis juga berjaya merampas 10 botol minuman keras pelbagai jenama, tiga unit peralatan elektronik pusat hiburan.

“Justeru polis memberi amaran kepada orang ramai supaya mematuhi PKP 2.0 dan kegagalan pematuhannya membolehkan dikompaun RM1,000 atau ditangkap dan seterusnya diheret ke mahkamah mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” tegasnya.- MalaysiaGazette