Snek ekstrusi yang dihasilkan penyelidik MPOB.
KUALA LUMPUR – Sekumpulan penyelidik dari Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah menghasilkan formulasi snek ekstrusi berasaskan minyak sawit merah yang enak, berkhasiat dan bebas daripada pewarna sintetik dan lemak haiwan.
Ketua Pengarah MPOB, Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, teknologi inovatif MPOB ini berupaya memperkaya lagi snek ekstrusi dengan pro-vitamin A khasiat minyak sawit merah telah dikomersialkan di negara China.
”Inovasi ini dapat meningkatkan permintaan minyak sawit oleh China dan mengurangkan masalah kekurangan vitamin A di kalangan kanak-kanak,” kata Dr. Ahmad Parveez.
Makanan snek merupakan pasaran baru yang kian berkembang di China dan telah menjana AS$3.08 trilion (RM12.5 trilion) pada tahun 2019, berbanding AS$30.4 bilion  (RM123 bilion) dengan pengeluaran sebanyak 5.1 juta tan pada tahun 2018.
Penduduk negara China, terutamanya golongan kanak-kanak, sangat gemar snek ekstrusi, malah juga cenderung untuk membeli produk makanan kesihatan tanpa mengira harga.
Berdasarkan laporan, sebanyak empat juta tan snek ekstrusi dimakan oleh penduduk negara China setiap tahun.
Walau bagaimanapun, kebanyakan daripada snek ekstrusi di China dibuat menggunakan pewarna sintetik dan lemak haiwan.
”Oleh itu, MPOB telah menghasilkan inovasi yang menggunakan minyak sawit merah bagi menggantikan pewarna sintetik dan lemak haiwan dalam pembuatan snek ekstrusi. Snek ekstrusi ini sangat sesuai untuk dijual sebagai makanan premium di China yang penduduknya mementingkan produk makanan kesihatan,”kata Ahmad Parveez.
Ahmad Parveez menambah, MPOB dengan kerjasama Universiti Shanghai dan salah satu pengeluar makanan snek terbesar di China, telah menjalankan penyelidikan untuk menghasilkan snek ekstrusi tersebut selama dua tahun sejak Julai 2018.
Menurut beliau, snek ekstrusi berasaskan minyak sawit merah ini mendapat sambutan kerana ia produk yang enak dan berkhasiat.
Ia kaya dengan nutrisi sawit dan karotena asli yang bebas daripada pewarna sintetik, produk ini amat sesuai untuk diambil sebagai makanan kesihatan.
”Pengusaha tempatan, terutamanya pengusaha kecil sederhana digalakkan untuk mengkomersialkan teknologi berpotensi besar ini kerana ia mengandungi nutrien semulajadi dan karotena yang dapat memperkaya kesihatan kita,” ujarnya. – MalaysiaGazette