KUALA LUMPUR – Operasi rel Rapid KL akan bermula jam 6 pagi hingga jam 11 malam, mulai esok.

Perubahan waktu operasi itu dibuat berikutan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 (PKP 2.0) yang diumum kerajaan sehingga 18 Februari 2021.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Rapid KL, perubahan ini meliputi jajaran tren bagi LRT Laluan Kelana Jaya, LRT Laluan Ampang/ Sri Petaling, MRT Laluan Kajang dan Laluan Monorel KL. Justeru itu, semua pengguna perkhidmatan rel Rapid KL dinasihatkan agar merancang perjalanan mereka.

Rapid Rail menggalakkan agar para pengguna sentiasa mematuhi
Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan khususnya pemakaian pelitup muka sepanjang masa, sentiasa mencuci tangan dengan cecair pembasmi kuman serta mengambil suhu badan dan mendaftar dengan aplikasi MySejahtera atau di buku log sebelum memasuki tren.

Langkah-langkah ini adalah penting bagi memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19 di samping memudahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat pengesanan semula sekiranya terdapat kes positif. – MalaysiaGazette