Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba
Dr. Adham Baba

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan disebabkan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 13 Januari lalu, maka kluster penularan rentas negeri berjaya disekat.

Menurut menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba, disebabkan pelaksanaan PKP kali kedua tiada kes penularan itu berlaku semalam.

“Negara kita merekodkan sebanyak 2,764 kes baharu semalam (2,758 tempatan, 6 import), dengan kesembuhan berjumlah 3,887 kes.

“Ini adalah satu penurunan yang jelas jika dibandingkan dengan 5,728 kes harian tertinggi pada 30 Januari lalu dengan 3,805 kes sembuh. Malah pada Selasa, 9 Februari 2021, kita juga tiada mencatatkan sebarang kes baharu kluster rentas negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Adham, antara 7 Disember tahun lalu sehingga Isnin sebanyak 31 kluster rentas negeri direkodkan dengan mencatatkan 4,376 kes jangkitan rentas negeri yang berlaku di lapan negeri iaitu Pahang, Terengganu, Kelantan, Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Sarawak, Wilayah Persekutuan.

Negeri asal penularan itu adalah Wilayah Persekutuan, Selangor, Pulau Pinang, Johor, Melaka dan Sabah.

Adham berkata, ia ditambah lagi dnegan penguatkuasaan lebih ketat yang dilaksanakan dalam PKP sejak 4 Februari lalu.

“Perkembangan ini juga menunjukkan peningkatan kesedaran di kalangan pelbagai pihak dan keberkesanan pematuhan untuk tidak merentas sempadan di samping mengamalkan normal baharu yang diulangi dalam nasihat Kementerian Kesihatan.

“Kita telah dapat mengurangkan jangkitan baharu dengan melindungi diri dan melindungi orang lain dari jangkitan Covid-19,” katanya.

Semalam, kes positif Covid-19 turun kepada 2,764 kes selepas hampir sebulan kes melebihi 3,000.

Daripada jumlah kes baharu itu sebanyak 2,758 kes adalah penularan tempatan manakala enam lagi merupakan kes import.

Sebanyak 289 kes kes kini sedang mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana 127 memerlukan alat bantuan pernafasan. – MalaysiaGazette