Nur Nazirah Aleeya.

KUALA LUMPUR – Pengasas produk Diamond Gold Beauty tidak menyangka video dirinya bersama pekerjanya menjadi viral kerana ramai menyangka dia adalah pelakon Jue Aziz.

Pengasasnya, Nur Nazirah Aleeya itu berkata, dia mendapat panggilan daripada pembantu peribadinya, Sarah yang memaklumkan video gurauannya itu telah viral.

“Bangun pagi tadi saya tengok ada banyak missed call dari family dan kawan-kawan. Paling banyak sekali missed call dari PA saya, Sarah. Terus call dia sebabkan ingat ada emergency. Sarah maklumkan video gurauan kami viral dan nasihatkan saya jangan tengok komen takut saya tak kuat.

“Senyap-senyap saya siasat, MasyaAllah menggigil satu badan dibuatnya rasa nak pitam! Paling sedih sekali part tak pakai stokin walhal berniqab! Saya pakai stokin cuma warna skin colour.

“Sebelum saya menjelaskan secara lanjut, nama saya Nur Nazirah Aleeya. Saya bukanlah pelakon Jue Aziz, sebaliknya adalah pengasas DIAMOND GOLD BEAUTY,” tulisnya di media sosial.

Jelas Nur Nazirah, berkenaan video yang viral hanyalah gurauan antara dirinya sebagai majikan dengan pekerjanya.

Menurutnya, dia sememang tiada pertalian darah langsung dengan pelakon berkenaan.

“Cumanya, saya biasa terima usikan daripada staff dan kebanyakan orang yang bertemu saya mereka kata wajah dan suara saya ada iras Jue Aziz. Ada juga yang kata mcm Datin Sri Zizie Ezette (Aiyo cantik sgt tue!).

“Disebabkan dah biasa dengan gurauan staff yang selalu ngusik panggil Jue Aziz, saya layankan saja staff saya, Sarah si tukang record video berkenaan. Mungkin juga sy baru sebulan dua berniqab jd niatnya nak bergurau. Dialog pun spontan saja, sebab dah biasa kena paksa berlakon dgn staff-staff nie,” tulisnya.

Ujar wanita itu, dalam keadaan tekanan kerja yang ada kala melanda dirinya, dia hanya melayan kerenah pekerja.

“Dengan staff ada masa perlu serious dan tegas sebagai majikan, ada masa pula kita layan mereka seperti sahabat.

“Apapun saya nak minta maaf kepada Jue Aziz atau sesiapa saja yang tersinggung dengan gurauan kami. Yang baik datang dari Allah SWT dan yang buruk datang dari diri saya sendiri,” ujarnya. – MalaysiaGazette