Tempat kejadian seorang wanita dipukul sehingga mati oleh suaminya yang berang ditegur berTikTok bersama isteri muda di Flat Pelangi Damansara 9 Februari lalu.

PETALING JAYA – Gara-gara cemburu apabila madunya bermain aplikasi Tik Tok, seorang wanita akhirnya mati dipercayai selepas bergaduh dengan suaminya sendiri.

Kejadian berlaku pukul 7.03 pagi di kawasan Flat Pelangi Damansara di sini pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pada mulanya pihaknya menerima satu panggilan  daripada orang awam memaklumkan seorang wanita warga asing berusia sekitar 40 tahun ditemui mati di sebuah rumah di flat berkenaan.

Hasil siasatan polis menemui kesan lebam di bahagian tubuh badan mangsa dan dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya  untuk proses bedah siasat.

“Tindakan pantas polis berikutan kejadian itu berjaya membuahkan hasil apabila tertangkapnya suspek utama kejadian itu pukul 3.10 petang pada hari yang sama di sebuah tapak pembinaan di kawasan Stadium Merdeka.

“Suspek seorang lelaki berusia 29 tahun dan merupakan suami kepada mangsa yang mati. Polis berjaya merampas dua buah telefon bimbit jenama Oppo yang mana salah satunya adalah milik mangsa,  sebuah beg galas jenama Sport yang mengandungi wang tunai RM200, dua utas jam tangan jenama SKMEI, sebuah power bank dan serangkai kunci,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Nik Ezanee, susulan tangkapan suspek utama itu, polis pada hari yang sama pukul jam 6.20 petang menahan seorang lagi suspek bagi membantu siasatan kes kematian itu.

Menurut Nik Ezanee, suspek kedua merupakan seorang wanita warga asing berusia 45 tahun ditahan di sebuah tapak pembinaan di Taman Klang Utama.

Semasa soal siasat, wanita itu mengaku isteri kedua kepada suspek sejak bulan November tahun lalu.

Menerusi tangkapan itu ujarnya, polis berjaya merampas telefon bimbit jenama Redmi, seutas rantai emas dan sepasang anting-anting emas,sebuah beg pinggang jenama DX Team yang mengandungi wang tunai RM728 dan serangkai kunci dari suspek kedua.

“Soal siasat lanjut polis ke atas suspek utama lelaki itu mengakui dia telah bergaduh dengan mangsa iaitu isteri pertamanya kira-kira pukul 10 malam Isnin lalu.

“Mangsa melihat suaminya membuat video Tik Tok bersama suspek kedua (isteri kedua) sebelum tercetus pergaduhan sesama mereka yang kemudian menyebabkan suspek menumbuk dan menampar mangsa beberapa kali sehingga mangsa tidak bergerak lagi.

“Seterusnya suspek membiarkan mangsa bersendirian dan terus keluar meninggalkan rumah menuju ke Klang,” kata Nik Ezanee.

Kedua-dua pasangan suami isteri itu direman selama enam hari bermula hari ini sehingga 15 Februari ini dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.-MalaysiaGazette