Perbicaraan kes pelakon dan pengarah terkenal Datuk Farid Kamil Zahari yang didakwa menampar anggota polis trafik hari ini ditangguhkan berikutan peguam yang mewakili Farid Kamil mengalami kemalangan jalan raya.
Farid Kamil Zahari

KUALA LUMPUR – Aktor dan pengarah, Farid Kamil berlapang dada menerima keputusan Istana Pahang menarik balik gelaran Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk kepadanya.

Hal itu dikongsi suami kepada aktres Diana Danielle itu menerusi laman Instagram, semalam.

Bagaimanapun, bapa dua cahaya mata itu memilih untuk menutup ruangan komen.

“Saya amat berbangga dan berbesar membawa gelaran Datuk yang dikurniakan oleh Istana Pahang sejak 16 Disember 2017.

“Saya menjunjung kasih atas penganugerahan tertinggi dalam hidup saya dan menerimanya dengan penuh kerendahan diri, ketika itu.

“Hari ini, saya juga dengan penuh rasa hormat menerima keputusan Istana Pahang menarik balik gelaran DIMP yang membawa gelaran Datuk kepada saya,” kongsinya.

“Saya kini dalam usaha memasarkan filem Remp-it 2 yang akan menemui penonton dalam tahun ini juga,” tulisnya lagi.

Semalam, kerajaan negeri Pahang mengumumkan gelaran Datuk dikurniakan kepada Farid dan penerbit, Boy Iman atau Noruliman A Rahman ditarik balik dan dibatalkan.

Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata, tarikh surat penarikan balik DIMP yang dikurniakan kepada Farid dan Boy itu berkuatkuasa pada 1 Februari lalu.

Beliau berkata, penarikan darjah kebesaran itu sebagai menjunjung titah perintah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. – MalaysiaGazette