Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Dr. Ronald Kiandee (tengah) melihat tanaman sayur-sayuran pada Majlis Pelancaran Khidmat Agihan Bantuan Penjana Pertanian Bandar di Wisma Tani, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 11 FEBRUARI 2021.

PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) tidak menafikan berlaku kenaikan harga sayur-sayuran sejak Peritnah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di seluruh negara kecuali Sarawak mulai 16 Januari lalu.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee bagaimanapun berkata, kenaikan itu tidak terhad kepada sayur-sayuran sahaja, bahkan komoditi lain juga turut mengalami kenaikan harga akibat beberapa faktor.

“Soal kenaikan harga apa juga komoditi termasuk sayur-sayuran, ikan, daging, ayam dan sebagainya berpandukan kepada pelbagai faktor terutamanya faktor pembekalan.

“Jadi ayam kalau harga bahan makanan (naik) ia akan mempengaruhi harga pasaran apa juga komoditi.

“MAFI terlibat sama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk melihat pergerakan harga barang-barang terutama di bawah industri agro makanan ini,” katanya kepada pemberita di Wisma Tani, hari ini.

Datuk Dr. Ronald Kiandee (dua kanan) diiringi timbalannya, Datuk Seri Ahmad Hamzah (dua kiri) melakukan gimik penyerahan bantuan pada Majlis Pelancaran Khidmat Agihan Bantuan Penjana Pertanian Bandar di Wisma Tani, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 11 FEBRUARI 2021.

Terdahulu Ronald menyempurnakan Majlis Pelancaran Pelepasan Khidmat Agihan Bantuan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) Pertanian Bandar kepada syarikat penghantaran City-Link Express (M) Sdn Bhd di kementeriannya.

Dalam pada itu, Ronald berkata, walaupun harga sayur-sayuran di pasaran meningkat, namun bekalan bahan makanan itu mencukupi sepanjang tempoh PKP 2.0.

“Kita ingin melihat industri sayur-sayuran ini berjalan tanpa gangguan ketika Covid-19 dan itu satu kenyataan.

“Kita ingin memastikan bekalan sayur-sayuran kekal, stabil dan tidak terganggu

“Memang sedemikian berlaku, tiada kekurangan dari segi bekalan, bukan sahaja sayur-sayuran, bahkan hampir semua bekalan makanan yang perlu bagi rakyat Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette