Bantuan dihulurkan kepada rakyat Sabah melalui kapal angkut A400M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), hari ini.

KUALA LUMPUR – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)  melaksanakan penghantaran sumbangan kebajikan ke Sabah hari ini dengan menggunakan pesawat pengangkut, A400M.

Menurut kenyataan TUDM, penghantaran tersebut merupakan barangan sumbangan daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO), Yayasan Ikhlas.

Katanya, barangan itu diagihkan kepada golongan memerlukan yang terkesan akibat kemiskinan susulan pandemik Covid-19 di negeri itu.

Antara barang sumbangan adalah makanan asas seperti beras, bihun, minyak masak, tepung gandum, gula, biskut dan makanan dalam tin dengan anggaran berat keseluruhan 6,650 kg.

“Antara barang sumbangan adalah makanan asas seperti beras, bihun, minyak masak, tepung gandum, gula, biskut dan makanan dalam tin dengan anggaran berat keseluruhan 6,650 kilogram,” katanya.

Tambah kenyataan itu, proses memuat naik barangan ke pesawat bermula seawal jam 5 pagi oleh anggota TUDM dari Cabang Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang serta loadmaster pesawat A400M.

“Pesawat kemudiannya selamat berlepas ke Kota Kinabalu pada pukul 7 pagi.


Pesawat telah dikendalikan oleh Juruterang TUDM, Mejar Mohd Shafique TUDM, Pembantu Juruterbang Kapten Mohamad Ridhwan TUDM serta diikuti dengan 3 anak kapal lain yang turut terlibat iaitu loadmaster PW U II Amran, Sjn U Mohd Hashimi dan Sjn U Abdullah.

“Menerusi penghantaran barang sumbangan kebajikan kali ini, sebanyak 1,000 pek daripada 7,000 pek keseluruhan bekalan asas makanan akan diagihkan kepada mereka yang memerlukan meliputi kawasan Semporna, Tawau dan Lahad Datu dengan jumlah sumbangan bernilai RM 1.4 juta,” katanya. -MalaysiaGazette