Siraj Jalil, Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) ketika di temu bual oleh Malaysia Gazette di pejabat PPIM. Foto FIKRI YAZID 11 FEBRUARI 2021

KUALA LUMPUR – “Tidak ada keperluan untuk masyarakat menyimpan wang di institusi kewangan negara sekiranya apa yang mereka simpan tidak selamat.”

Itu tegas Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil yang mengulas kehilangan wang orang ramai akibat penipuan dalam talian atau scam.

Jelas Siraj, masyarakat mempercayai institusi kewangan dengan menyimpan wang di dalam bank namun apabila wujud aktiviti scam, mereka tidak mendapat pembelaan sewajarnya daripada pihak bank.

“Masyarakat simpan duit di bank dengan harapan ia selamat, tetapi kalau simpan di bank jadi asbab ramai kena scam, apa guna institusi perbankan?.

”Jadi tidak ada keperluan, lebih baik masyarakat simpan duit di dalam rumah payah sikit orang nak scam. Saya tidak ada akaun bank, siapa nak scam kita. Sampai tahap tidak ada akaun bank, lebih selamat daripada akaun bank.

“Tapi takkan kita nak promote kat orang jangan simpan dekat bank sampai ke tahap begitu, ini akan memberi kesan kepada institusi perbankan,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Beliau akui kegiatan  scam semakin berleluasa dan rata-ratanya tidak dapat di selesaikan oleh pihak bank.

Katanya, negara kehilangan kira-kira RM5 bilion dua tahun kebelakangan ini, namun tidak ada langkah daripada kerajaan untuk memastikan aktiviti scam ini dapat dibendung.

“Kita kehilangan RM5 bilion kepada kegiatan scam sahaja untuk tahun 2018 dan 2019. Tahun lepas masih belum keluar lagi. Hanya polis dan BNM sahaja  ada statistik itu.

“Kalau sudah tahu negara kehilangan RM5 bilion, banyak perkara boleh dilakukan, Menara TRX boleh naik sebuah lagi dengan duit itu.

“Kita ada Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara yang diwakili oleh menteri-menteri, lebih daripada lima dan ia di bawah MKN. Jadi apa guna kuasa ini kalau isu rakyat tidak boleh selesaikan, untuk apa jawatankuasa ini diletakkan di bawah MKN tapi tidak boleh selesaikan masalah rakyat, ini memalukan.

“Rakyat nak bergantung dengan kerajaan sebab itu mereka dilantik jadi kerajaan. Kalau rakyat tidak ada kebergantungan kepada itu, mana lagi rakyat nak berharap,” soal Siraj lagi.

Ketua aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan ketika di temuramah oleh Malaysia Gazzate di pejabat beliau di Kuala Lumpur. Foto FIKRI YAZID 11 FABRUARI 2021

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan pula menegaskan, kerajaan mahupun institusi perbankan tidak serius dalam menyiasat isu scam yang menjadi ketakutan rakyat di negara ini.

Lantaran itu berharap agar kerajaan lebih peka terhadap isu penipuan dalam talian ini kerana ia mendatangkan keperitan kepada mangsa-mangsanya.

“Kita tidak serius dalam menyiasat isu cyber scam, kita selalu ambil mudah kerana kita tidak nampak dan tidak tahu tapi ia cukup besar, jadi kita masih relax

Dalam pada itu, Nadzim berkata, bank-bank harus diberikan tanggungjawab untuk menyelesaikan segala aduan yang diajukan kepada mereka.

“Kena ada kesungguhan yang mana pihak SKMM kena beri tiga kali ganda effort supaya kita tidak menjadi mangsa. Pihak bank pun perlu diberi tanggungjawab supaya tidak melepaskan diri kerana perkara ini bermula daripada mereka.

“Mereka kena buat sesuatu, contoh yang kena mule akaun memang kena tipu adalah pemegang akaun tapi apa yang dibuat oleh pihak bank, ada mereka kata jangan beri kepada sesiapa kad dan maklumat, jadi yang kena tipu dan masuk penjara adalah orang yang tidak dididik dan dimaklumkan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Siraj menasihatkan agar pihak bank menggunakan kaedah lain dalam memastikan wang penyimpan dapat diselamatkan sekiranya berlakunya aktiviti scam terhadap pelanggan mereka.

“Kalau penjenayah siber ini bijak, kita kena 10 kali lebih bijak daripada penjenayah. Lagipun bank-bank ada sumber dan bajet kerajaan keluarkan setiap tahun.

“Ini tanggungjawab, mereka kena dapatkan penyelesaian sebab itu tanggungjawab dan dibayar gaji untuk itu.Kalau mereka dibayar gaji untuk buat polisi yang betul, jadi lakukan yang benar dan lindungi orang ramai sebab rakyat adalah keutamaan mereka.

Tambah beliau, alasan pihak bank yang tetap menyalahkan pengguna dalam talian sudah tidak boleh dipakai.

“Tak boleh nak jatuh hukum kepada pengguna dengan alasan tidak peka, nak harap semua pengguna peka tak perlulah wujud semua struktur kerajaan dan agensi yang patut memantau semua ini. Tidak perlu buat ada undang-undang, kita jaga diri kita sendiri,” katanya lagi.

Untuk rekod, dalam enam bulan pertama tahun lalu, jumlah kerugian rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan meningkat ketara kepada RM914 juta.

Menurut Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Syed Zaid Albar, penipuan dalam talian menjadi antara kes tertinggi dicatatkan sepanjang enam bulan pertama 2020. – MalaysiaGazette