Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Mohd Ridzuan Abdullah.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) menyambut baik keputusan kerajaan yang membenarkan pelanggan makan di dalam restoran walaupun terhad kepada dua orang satu meja.

Presidennya, Datuk Mohd Ridzuan Abdullah berkata, langkah itu mampu menyelamatkan 90 peratus pengusaha restoran daripada gulung tikar kerana jumlah pelanggan semakin susut akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan pelanggan makan di dalam restoran melegakan pengusaha restoran dan kedai makan di seluruh negara.

“Sejak pelaksanaan PKP 2.0, pelanggan tidak lagi mengunjungi restoran dan kedai makan kerana mereka hanya dibenarkan bungkus makanan sahaja.

“Makanan yang dijual pula jarang habis dan ada juga peniaga terpaksa memanaskan semula makanan belum rosak untuk dijual semula,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Sebelum ini, IKHLAS menggesa MKN membenarkan pelanggan makan di dalam restoran dan kedai makan kerana kaedah bungkus dan bawa balik didakwa boleh membunuh industri makanan itu.

IKHLAS juga mencadangkan kepada MKN sekurang-kurangnya satu meja dua orang sahaja dibenarkan makan di dalam restoran dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Dalam pada itu, Mohd Ridzuan juga merakamkan penghargaan terhadap Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana mendengar rintihan pengusaha restoran yang berdepan risiko gulung tikar.

“Suara peniaga kedai makan dan pengusaha restoran yang dibawa oleh IKHLAS diterima oleh kerajaan.

“Malah saya sendiri menyampaikan keluhan peniaga dan pengusaha restoran kepada Datuk Seri Ismail Sabri untuk dibawa ke dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk pertimbangan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette