Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA – Sambutan Hari Kebangsaan 2024 akan diadakan di pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan, kata Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, ia diputuskan dalam mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

“Jemaah Menteri hari ini memutuskan mengenai sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia. Sambutan Hari Kebangsaan akan diadakan di Putrajaya.

“Manakala sambutan Hari Malaysia akan diadakan di Sabah dan lokasi khusus akan diumumkan selepas mesyuarat pertama dipengerusikan bersama antara saya dan Datuk Christina Liew (Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah),” katanya dalam sidang media di pejabatnya, hari ini.

Ini adalah kali keenam sambutan Hari Kebangsaan diadakan di Putrajaya, kali pertama ialah pada tahun 2003.

Sambutan tahun ini juga menjadi penganjuran kali kedua di bawah Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Anwar selepas ia diadakan tahun lalu.

Manakala sambutan Hari Malaysia pada 16 September tahun lalu diadakan di Stadium Perpaduan di Kuching, Sarawak dengan menggunakan tema sama dengan Hari Kebangsaan 2023 iaitu “Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan”.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, kerajaan tidak membincangkan hasrat kerajaan Kelantan yang ingin menggubal semula 16 Seksyen Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

“Perkara ini tidak dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini,” katanya,

Fahmi berkata mengulas kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud bahawa kerajaan negeri komited untuk menggubal semula 16 Seksyen Enakmen Kanun Jenayah Syariah negeri berkenaan.

Enakman berkenaan yang dibatalkan Mahkamah Persekutuan Februari lalu.

Sementara itu, beliau berkata, jemaah Menteri turut diberikan perkembangan mengenai beberapa insiden yang menggemparkan negara termasuk serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram, Johor baru-baru ini.

“Kami ada diberikan sedikit perkembangan dan Perdana Menteri sudah meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan tugas (siasatan),” katanya.

Dalam kejadian Jumaat lalu, dua anggota polis terbunuh manakala seorang lagi cedera dalam serangan di balai polis tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast