Mayat mangsa yang terjatuh longkang itu dikeluarkan oleh pihak bomba sebelum diserahkan kepada polis.

TASEK GELUGOR – Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas sebelum terhumban dalam longkang di Kampung Selamat di sini semalam.

Dalam kejadian jam 9.45 malam itu mangsa, P.Thinagaran,56, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Jurucakap Pusat Gerakan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.50 malam sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi.

“Sebaik tiba kita dapati berlaku kemalangan di mana mangsa dikatakan terbabas sendiri sebelum terjatuh ke dalam longkang berhampiran.

“Usaha mengeluarkan mangsa di lakukan sebelum pegawai perubatan mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelas jurucakap itu, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 11.49 malam. – MalaysiaGazette