Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Pemimpin-pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan parti lain tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan yang bersifat tuduhan yang mendakwa UMNO memiliki akaun sulit.

Tan Sri Annuar Musa berkata, lebih 20 tahun sebagai ahli majlis tertinggi parti itu,  UMNO tidak pernah membuat keputusan membuka akaun rahsia.

Tegas Ahli Parlimen Ketereh itu, dakwaan yang dibuat oleh Bersatu tidak membawa sebarang kebaikan.

Baru-baru ini, Majlis Tertinggi Bersatu Dr Muhammad Faiz Na’aman menggesa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) menyiasat dakwaan yang dibuat di mahkamah bahawa UMNO mempunyai akaun bank rahsia yang tidak diaudit yang melanggar Akta Pertubuhan.

Gesaan itu dibuat selepas dakwaan berhubung akaun bank rahsia itu dibuat oleh pihak pendakwaan dalam saman sita pelucutan harta berkaitan 1MDB oleh kerajaan terhadap Obyu Holdings.

Semalam, beberapa pemimpin dan bekas pemimpin UMNO turut menafikan parti itu mempunyai akaun sulit. – MalaysiaGazette