Dr. Ahmad Yunus antara calon PN yang dicadangkan sebagai Menteri Besar Selangor oleh DPPS.

SHAH ALAM – Pembentukan Badan Perhubungan Negeri (BPN) Perikatan Nasional (PN) Selangor merupakan bukti komitmen Pas Selangor dalam menjayakan agenda kerajaan PN dan mengekalkan kerajaan sedia ada dengan semangat perpaduan ummah, kata Pesuruhjaya Pas Selangor Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.

Beliau berkata, langkah Pas Selangor itu juga selari dengan arahan Pas Pusat yang mahu setiap negeri memberikan komitmen penuh dalam gerak kerja “Mempertahankan Perikatan Nasional”.

“Adalah menjadi harapan PAS Selangor agar PN di negeri ini dapat dijayakan dengan meraikan semangat musyawarah, hormat-menghormati dan tolak ansur antara parti-parti yang mendukungnya serta menjamin hubungan kerjasama politik yang mantap untuk menawan Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu juga katanya, Pas Selangor berharap agar semua lantikan parti di negeri tersebut akan dibincangkan dan diputuskan dalam mesyuarat di peringkat Parlimen dengan persetujuan bersama bagi mencerminkan permuafakatan yang padu dalam gabungan PN.

“Ia perlu mengambil kira kekuatan dan kemampuan serta pengaruh parti masing-masing di bawah PN negeri bagi membentuk sebuah pasukan yang benar-benar berkemampuan serta mempunyai keupayaan mempengaruhi akar umbi khasnya rakyat Selangor,” katanya.

Semalam Pengerusi PN Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan pembentukan struktur organisasi BPN PN Selangor yang dipengerusikan oleh Pengerusi Bersatu Selangor Datuk Abdul Rashid Asari sementara Ahmad Yunus dilantik sebagai Naib Pengerusi. – MalaysiaGazette