Orang awam melakukan ujian saringan Covid-19 anjuran ADUN Bukit Gasing susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di Dewan Serbaguna Petaling Jaya, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 18 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang dilanjutkan sehingga 18 Februari depan sudah menunjukkan tanda-tanda positif.

Mana tidaknya, ekoran pelaksanaan PKP itu selama sebulan, beberapa daerah di Semenanjung Malaysia sudah keluar daripada zon merah dan kini diisytiharkan sebagai zon bebas Covid-19.

Tiga daerah iaitu Bera dan Lipis di Pahang serta daerah Jeli di Kelantan kini menjadi antara zon hijau peringkat pertama di negara ini.

Data Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat (CPRC) Kebangsaan semalam turut memberitahu tujuh daerah di negeri Kedah sudah keluar daripada zon merah dan kini dikategorikan sebagai zon kuning yang tidak mempunyai kes melebihi 40 kes.

Antaranya daerah Kubang Pasu 10 kes, Pendang (16), Padang Terap (9), Langkawi (6), Bandar Bahru (13), Sik (12) dan Yan juga dengan 12 kes.

Daerah lain di Kedah masih dikategorikan zon merah iaitu Kuala Muda dengan 402 kes, Kita Setar (66), Kulim (207), dan Baling 58 kes.

Negeri Pahang juga turut menunjukkan pengurangan kes positif Covid-19 iaitu di Raub (6), Cameron Highlands (2), dan Jerantut 7 kes sementara Rompin masih di zon jingga dengan 34 kes.

Lain-lain daerah iaitu Kuantan (267), Pekan (45), Bentong (79), Temerloh (60), dan Maran (57) masih dikategorikan sebagai zon merah.

Di Kelantan, enam daerah masih berada dalam zon merah iaitu Kota Bharu (180), Pasir Mas (63), Kuala Krai (64), Bachok (43), Tumpat (43) dan Tanah Merah 92 kes.

Daerah Gua Musang dengan 15 kes dan Machang 19 dikategorikan sebagai zon kuning.

Tetapi di Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Melaka, dan Putrajaya, semua daerah dan mukimmya masih berasa dalam zon merah.

Johor cuma tinggal satu daerah yang di zon kuning iaitu Mersing dengan 11 kes.

Lain-lain daerah di negeri itu masih merah.

Di Perak, satu daerah iaitu Kampar dikategorikan sebagai zon jingga dengan 40 kes.

Daerah Kinta merekodkan 180 kes, Hulu Perak 43 kes, Kerian 57 kes, Perak Tengah 65 kes, Manjung 112, Larut Matang Selama 127, Hulu Perak 87, Batang Padang 41, Muallim 43 dan Kuala Kangsar dengan 46 kes.

Daerah Petaling di Selangor mencatatkan kes positif Covid-19 tertinggi di negara ini dengan 10,089 kes, diikuti Hulu Langat 3,564, Klang 3,136, Sepang 2,894, Gombak dengan 1,454 kes, Kuala Langat 793, Kuala Selangor 720, Hulu Selangor 745 dan Sabak Bernam dengan 154 kes.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatatkan 7,088 kes dengan Lembah Pantai 2,120, Titiwangsa 1,972 kes, Cheras 1,743 dan Kepong 1,254 kes.

Semua daerah di Melaka masih di zon merah iaitu Jasin 1,456 kes, Melaka Tengah 374 kes dan Alor Gajah dengan 162 kes.

Negeri Sembilan mencatatkan empat zon merah iaitu di daerah Seremban dengan 1,053 kes, Tampin 42, Port Dickson 94, dan Kuala Pilah dengan 48 kes.

Tiga daerah di negara itu berada di zon jingga dengan Rembau 36 kes, Jelebu 26 kes dan Jempol 38 kes.

Sabah masih mencatatkan zon merah tertinggi dengan 19 daerah masih merah.

Bagaimanapun, lima daerah di negeri itu kini dikategorikan sebagai zon kuning antaranya Tambunan (3), Nabawan (14), Pitas (5), Kuala Penyu (13) dan Tongod (10).

Sementara itu, Labuan masih dikategorikan zon merah dengan 122 kes positif Covid-19.

Di Sarawak, 11 zon hijau direkodkan semalam antaranya darah Limbang, Mukah, Simunjan, Tebedu, Pusa, Asajaya, Lubok Antu, Kabong, Tanjung Manis, Marudi, dan Telang Usan. – MalaysiaGazette