Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak pernah mengeluarkan sebarang surat penerimaan dan sokongan kerja bagi pembinaan infrastruktur di bawah pelan Jalinan Digital Negara (Jendela).

Dalam satu kenyatan SKMM memaklumkan, pihaknya mengesan penyebaran surat penerimaan dan sokongan oleh individu tidak bertanggungjawab.

Katanya, surat berkenaan ditulis dengan menggunakan kepala surat SKMM dan tercatat nama seorang pegawainya berhubung penerimaan dan sokongan kepada pemohon untuk menjalankan kerja-kerja pembinaan infrastruktur di bawah pelan Jendela.

“Kandungan surat antara lain menyebut bahawa SKMM menerima dan menyokong pendaftaran pemohon untuk menjalankan kerja-kerja pembinaan infrastruktur di bawah pelan Jendela Kluster 1 hingga 4 di Kedah, Kluster 6,7,9,10 dan 11 di Perak serta Kluster 65,66,70,72,74,76,77, 80, 81, 83, 84, 85, 87 dan 90 di Sarawak,” katanya.

SKMM menegaskan, surat tersebut adalah palsu dan tidak pernah mengeluarkannya.

Malah, surat itu turut mengandungi kesilapan membabitkan penggunaan logo SKMM lama serta jawatan semasa yang dijawat oleh pegawai berkenaan.

Justeru, SKMM mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tindakan oleh pihak-pihak tertentu yang menyebarkan surat, emel mahupun mesej yang tidak ditentukan kesahihannya.

“Sekiranya terjumpa kandungan yang mencurigakan, laporkan perkara itu dengan segera agar tindakan susulan boleh diambil oleh pihak berkuasa,” tegasnya. – MalaysiaGazette