ACP Arifai Tarawe

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang ditahan sebagai suspek utama dalam kes remaja maut ditikam di Batu Caves, Gombak dekat sini baru-baru ini akan disambung reman esok.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya akan mendapatkan perintah sambung reman bagi menjalankan siasatan lanjut.

“Kes masih disiasat secara mendalam manakala suspek utama dalam kes ini iaitu abang ipar mangsa akan disambung reman esok.

“Kita akan membawa suspek ke Mahkamah Selayang esok untuk disambung reman bagi melengkapkan siasatan kes ini untuk pendakwaan.

“Manakala lapan lagi suspek sekeluarga telah dibebaskan dengan jaminan polis kecuali suspek utama kes ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Arifai, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Pada 9 Februari lalu, suspek berusia 25 tahun direman selama tujuh hari sehingga esok untuk siasatan lanjut.

Semasa kejadian ia bermula apabila berlaku pertengkaran di antara suspek dengan isteri dan juga keluarga isterinya.

Ia berpunca daripada keengganan isteri suspek untuk tinggal bersama-sama disebabkan kurang selesa kerana rumah suaminya itu turut dihuni oleh adik beradik suspek yang lain.

Seterusnya berlaku pergelutan suspek bersama anak tirinya sebelum dipercayai berlaku kejadian mangsa ditikam suspek sehingga membawa kepada kematian.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Remaja maut ditikam gara-gara tegur abang ipar