KUALA LUMPUR – Tidak sampai dua minggu selepas negara dikejutkan dengan kes dera Adik Amir yang didakwa didera ibu kandung sendiri kini ada pula kes dera melibatkan kanak-kanak perempuan berusia empat tahun.

Itulah luahan hati bekas Ketua Wanita MIC, Datuk Mohana Muniandy yang merasakan penderaan terhadap kanak-kanak seperti tidak ada kesudahan malah lebih teruk ketika masa penularan Covid-19 sejak kebelakangan ini.

Kes adik Amir yang dimaksudkan ialah kematian meibatkan Allahyarham Adik Amir Qusyairi di Melaka yang didakwa didera ibunya sendiri bersama bapa tirinya di Melaka.

“Saya terbaca bagaimana mangsa (kes di Tampin) mengalami kecederaan serius di kepala, kesan lebam di pergelangan tangan dan kaki di kedua-dua belah serta kesan gigitan di badan mangsa selain tiga tulang rusuk kirinya patah.

“Malah lebih menggerunkan apabila doktor mengesahkan terdapat tiga kesan gigitan gigi dewasa iaitu di tangan kanan, bahu kanan dan pergelangan tangan kanan si mati dan forensik mengesahkan punca kematian adalah disebabkan kecederaan di kepala akibat benda tumpul. Saya menangis,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Mohana mempersoalkan sama ada hukuman kepada pendera di negara ini masih belum mencukupi untuk dijadikan pengajaran kepada segelintir mereka yang berjiwa kejam.

“Saya mohon kerajaan mengambil tindakan yang tegas dan serius berkaitan isu kanak-kanak ini mengikut peruntukan undang-undang Akta Kanak-Kanak 2001. Akta 611 haruslah dipraktikkan sepenuhnya bagi membendung penganiayaan dan penderaan terhadap kanak-kanak. Tolonglah,” rayunya.

Media semalam melporkan helah seorang lelaki membawa anak tirinya ke klinik kerana mengalami kekejangan terbongkar selepas ditahan kerana disyaki mendera kanak-kanak perempuan sehingga maut dalam kejadian pada 1 Februari lepas.

Sambung Mohana lagi, selain tindakan tegas terhadap pelaku apa yang lebih penting ialah melindungi kanak-kanak daripada keganasan dan ia memerlukan pembabitan setiap individu dalam masyarakat.

Jelasnya kanak-kanak harus mendapat penjagaan terbaik dan perlindungan daripada keluarga mereka sendiri.

“Saya sendiri seorang ibu, membesarkan anak adalah tugas mencabar tetapi itu tidak memberi kita ‘lesen’ untuk berkelakuan tidak wajar, senonoh serta berbahaya hanya kerana kita sedang berdepan dengan pelbagai tekanan sehingga tidak mampu kawal diri.

“Kanak-kanak pula tidak mampu menyelamatkan atau meluahkan perasaan mereka sebaliknya kadang kala ahli keluarga lain pula walaupun tahu hanya mendiamkan diri atau berkompromi sahaja kerana berdepan dengan isu atau konflik lain.

“Jiran serta penduduk setempat pula enggan campur tangan, akhirnya apa yang berlaku ialah nyawa mangsa anak-anak kecil yang sepatutnya menjadi pelapis genarasi akan datang hilang nyawa dalam keadaan sungguh menyayat hati,” ujarnya.

Kata Mohana lagi, masyarakat berperanan dan bertanggungjawab dalam menangani isu penderaan kanak-kanak kerana mereka merupakan mata dan telinga di kawasan masing-masing.

“Jangan peduli kalau ada yang kata anda penyibuk, beranilah membuat laporan kepada polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pemimpin tempatan mengenai kes penderaan kanak-kanak bagi mengatasi kes itu.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Bapa tiri ditahan dera kanak-kanak perempuan 4 tahun hingga mati