Pejabat Kementerian Pengajian Tinggi di Putrajaya

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memandang serius pendedahan media mengenai laman sesawang ‘student programme’ dan laporan Facebook mengenai peningkatan mendadak bilangan pelajar universiti yang terlibat dalam perkhidmatan sugar baby.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr Husaini Omar berkata, pihaknya telah menghubungi beberapa universiti yang disenaraikan dalam laporan tersebut bagi mendapatkan maklumat mengenai kesahihan data yang telah disiarkan dalam beberapa media.

“Pihak universiti menjelaskan terdapat banyak keraguan terhadap data yang dikemukakan.

“Antaranya, Sunway Education Group menyatakan bahawa agak mustahil 45 peratus daripada pelajar Sunway University terlibat sebagai sugar baby.

“Ini kerana jumlah pelajar Sunway University pada masa kini adalah lebih kurang 7,000 pelajar sahaja.

“Oleh itu, laporan yang disiarkan oleh media bahawa seramai 3,105 pelajar Sunway University sebagai sugar baby adalah tidak munasabah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Sugarbook Darren Chan mendakwa ramai pelajar universiti di negara ini terjebak dalam kancah “sugar baby-sugar daddy” bagi memperoleh wang mudah untuk menampung kos sara hidup termasuk yuran pengajian.

Sugarbook, platform temu janji “sugar daddy” terbesar di Asia melaporkan peningkatan 40 peratus pelajar mendaftar untuk menjadi “sugar baby” sejak Januari, dengan menyatakan krisis kewangan dialami golongan terbabit.

Platform itu turut mendedahkan senarai “top 10” universiti “sugar baby” di Malaysia di Lembah Klang termasuk dua universiti awam, dengan seramai 12,705 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) berkenaan terjebak dalam kancah itu.

Dalam pada itu, susulan pendedahan itu, Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah membuat laporan polis pada 10 Februari lalu bagi menafikan laporan oleh pihak media.

“Walau bagaimanapun, pihak KPT bersama-sama dengan pihak Universiti akan menangani isu ini dengan lebih berkesan.

“Pihak universiti akan menjalankan semakan dalaman secara terperinci bagi memastikan apa yang dilaporkan oleh pihak media dapat ditangani sebaik-baiknya,” katanya.

Katanya lagi, pihak KPT juga akan melaksanakan sesi libat urus dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang berkaitan.

“Libat urus ini dilakukan agar satu program yang berterusan dan menyeluruh dapat dirangka dalam memastikan sahsiah pelajar dan imej Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia terjaga,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.