Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid

KUALA LUMPUR – Dalam keghairahan menyambut baik pengumuman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk memudahkan pengeluaran simpanan dari Akaun 1 melalui skim i-Sinar, para pencarum diingat agar berpada-pada ketika membuat pengeluaran.

Ini kerana, caruman KWSP sepatutnya digunakan untuk simpanan hari tua atau pelaburan jangka panjang seperti membeli hartanah.

Ketua Ekonomi Bank Islam, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid mengingatkan, ahli-ahli KWSP yang memerlukan wang simpanan tersebut tidak salah untuk mengeluarkannya jika keadaan mendesak tetapi berbelanjalah untuk perkara yang perlu sahaja.

Manakala mereka yang tidak memerlukan wang tersebut adalah lebih baik jika terus menyimpannya.

“Gunakanlah wang yang diperoleh sebaik-baiknya. Sebagai contoh, janganlah membeli telefon bimbit kerana ada susut nilai. Beli hari ini tinggi harga, esok kalau dijual harga jatuh.

“Oleh itu, berbelanjalah mengikut keperluan atau gunakan wang tersebut untuk tujuan pelaburan,” nasihatnya.

Menurut Mohd. Afzanizam, wang caruman KWSP jika tidak dikeluarkan akan memberi kesan penggandaan yang besar.

Seandainya wang berkenaan terus disimpan, para pencarum akan mendapat dividen dan dividen itu pula akan menjadi prinsipal untuk digunakan bagi menambah pelaburan seterusnya, tambah beliau lagi.

Bagi kesan positif kepada negara, Afzanizam berkata, pengeluaran i-Sinar tanpa syarat akan memberi suntikan kepada ekonomi negara.

Rakyat mempunyai wang untuk dibelanjakan, justeru penggunaan swasta akan meningkat.

“Seperti yang kita ketahui penggunaan swasta adalah komponen terbesar yang menyumbang dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Jadi pengeluaran i-Sinar ini akan merancakkan semula ekonomi negara yang suram disebabkan pandemik Covid-19,” ujarnya. – MalaysiaGazette