Sebanyak 15 tapak pembinaan yang gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) diarahkan tutup oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

KUALA LUMPUR – Sebanyak 15 tapak pembinaan yang gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) diarahkan tutup oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Menurut Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, jumlah itu adalah daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan pada 13 Januari lalu.

“Sebanyak 15 tapak pembinaan telah diberikan notis berhenti kerja kerana didapati tidak mematuhi beberapa SOP yang ditetapkan seperti penempatan pekerja tidak mematuhi Akta 446, tiada penjarakan fizikal dan pekerja tidak memakai pelitup muka.

“Dalam tempoh ini, CIDB telah memeriksa sebanyak 1,078 tapak pembinaan di seluruh negara yang mana sebanyak 1022 tapak pembinaan didapati beroperasi,” kata Fadillah dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Fadillah, daripada jumlah itu, sebanyak 1,007 tapak pembinaan didapati mematuhi SOP.

Menurut beliau lagi, kebanyakan kes positif Covid-19 di tapak-tapak pembinaan berpunca daripada kegagalan mematuhi SOP dan garis panduan yang ditetapkan.

“Hasil penemuan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga mendapati bahawa punca utama penularan wabak ini di kalangan pekerja asing adalah penempatan pekerja yang sesak, kotor dan tidak mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

“Pekerja berpindah dari satu tapak projek ke tapak projek yang lain didapati berperanan menyebarkan wabak tersebut dan membentuk kluster-kluster pembinaan,” kata Fadillah lagi.

CIDB juga telah diarah mempergiatkan lagi pemeriksaan SOP di tapak pembinaan di seluruh negara untuk memastikan pematuhan, katanya.

Jika projek pembinaan didapati tidak mematuhi SOP, CIDB katanya akan mengeluarkan arahan penutupan tapak bina.

“CIDB juga boleh mengenakan tindakan tatatertib terhadap kontraktor terbabit yang mengakibatkan pendaftaran mereka dibatalkan atau digantung,” ujar Fadillah. – MalaysiaGazette