Logo Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)

KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melancarkan Sistem e-Faraid MAIS bagi memudahkan masyarakat Islam menguruskan harta pusaka dengan lebih mudah dan pantas melalui sistem digital atas talian.

Sistem e-Faraid MAIS adalah sebuah sistem yang dibangunkan merangkumi penawaran perkhidmatan pengurusan harta pusaka, kaedah pengiraan secara faraid dan pengurusan fail serta pelaporan untuk pegawai yang mengurus.

Setiausaha MAIS, Dr. Ahmad Shahir Makhtar berkata, E-Faraid MAIS merupakan sistem yang pertama seumpamanya dihasilkan oleh Majlis Agama Islam Negeri melalui bidang kuasa yang diperuntukkan di bawah Subseksyen 5(4), Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 yang mana ia hendaklah mempunyai kuasa untuk bertindak sebagai wasi sesuatu wasiat atau sebagai pentadbir harta pusaka seseorang simati atau sebagai pemegang amanah mana-mana amanah.

Menariknya e-Faraid MAIS, pengguna dibekalkan dengan Kalkulator Pengiraan Faraid atau K- Faraid MAIS bertujuan mendidik masyarakat untuk memahami kaedah pengiraan dan pembahagian harta pusaka secara faraid.

Bagi pengguna yang ingin menggunakan K-Faraid MAIS, pengguna hanya perlu memasukkan waris-waris seseorang si mati melalui senarai waris atau carta waris dan kemudian memasukkan jumlah nilaian harta-harta pusaka yang ditinggalkan si mati.

Hasilnya pengiraan akan memaparkan kadar bahagian waris-waris bersama jumlah harta melalui jadual pengiraan.

Lebih mudah lagi dalam e-Faraid MAIS, pengguna hanya perlu memilih perkhidmatan yang ingin dikehendaki seperti Permohonan Penebusan, Permohonan Pusaka Tiada Waris, Permohonan Urus Pusaka dan Permohonan Pembelian.

Melalui e-Faraid MAIS, MAIS akan melaksanakan pengurusan harta pusaka dengan telus, adil
dan profesional mengikut hukum syarak kepada ahli waris.

Masyarakat yang ingin mendapatkan perkhidmatan e-Faraid MAIS ini, bolehlah menggunakan sistem ini melalui pautan di http://efaraid.mais.gov.my/ bermula 15 Februari 2021. – MalaysiaGazette