Sebahagian pendatang asing tanpa izin dikumpul sebelum menaiki trak Jabatan Imigresen selepas membuat serbuan pada Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Jabatan Imigresen di sekitar kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Hentian Kajang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 24 NOVEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyambut baik keputusan kerajaan untuk menyediakan vaksin Covid-19 secara percuma kepada semua termasuk bukan warganegara yang menetap di Malaysia.

Ia melibatkan diplomat, pegawai dagang, pelajar, pasangan warga asing dan anak mereka, pekerja asing dan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Langkah ini boleh dilihat sebagai satu pengiktirafan terhadap prinsip akses kepada kesihatan bagi semua orang di Malaysia dan ia sejajar dengan prinsip anti-diskriminasi serta layanan sama rata seperti mana yang diisytiharkan dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR).

Menurut kenyataan Suhakam, akses kepada penjagaan kesihatan adalah hak asasi yang seharusnya dinikmati oleh semua orang tanpa mengira status mereka.

”Hak kepada kesihatan merangkumi hak kepada sebuah sistem perlindungan kesihatan yang memberikan peluang sama rata kepada semua untuk mendapat akses kepada penjagaan kesihatan.

”Suhakam juga berharap agar kerajaan akan merealisasikan keputusan mereka untuk menyediakan vaksin percuma kepada migran tanpa dokumen dan memastikan agar mereka yang tampil untuk menyertai Program Imunisasi Kebangsaan ini tidak akan ditangkap dan didenda disebabkan status mereka yang tidak berdokumen,” katanya dalam kenyataan di sini.

Walaupun Suhakam memahami kuasa undang-undang imigresen menetapkan tangkapan boleh dibuat terhadap mereka yang
tidak mempunyai dokumen, tetapi melihat kepada keadaan mendesak ketika pandemik ini, persekitaran yang selamat amat perlu bagi membolehkan semua orang tampil secara sukarela untuk vaksinasi.

Dalam hal ini, Suhakam menyambut baik kesediaan kerajaan untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan ke arah memastikan program imunisasi yang efektif kepada semua. – MalaysiaGazette