Gambar hiasan

KEPELBAGAIAN kaum yang wujud di negara kita telah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang unik yang mana pelbagai kaum, agama dan budaya dapat hidup bersama dibawah satu bumbung langit yang sama dan berpijak di atas tanah tumpahnya darah kita semua.

Sikap saling hormat-menghormati dan bertoleransi diantara kaum perlu diterapkan dalam jiwa dan diri anak-anak kita semua supaya keamanan dan kesejahteraan yang kita alami sekarang dapat dinikmati oleh mereka kelak.

Walaupum majoriti penduduk di Malaysia merupakan orang melayu dan beragama islam,Allah SWT tidak melarang dan mengharamkan supaya kita memghormati mereka selagi tidak berlaku kelampauan. Di dalam kitab Al Quran juga telah disebutkan tentang penciptaan dan kewujudan kepelbagaian kaum dan bangsa itu merupakan anugerah yang diberi oleh Allah swt melalui surah Al-Hujurat ayat 11.

Jadi, tidak menjadi permasalahan dan beban kepada kita sebagai Melayu dan umat islam untuk terus melakukan perkara yang makruf dan meninggalkan perkara yang mungkar seperti melakukan penindasan,menghina keagamaan lain dan merendahkan budaya kaum yang berbeza dengan kita.

Orang bukan melayu dan bukan islam juga mempunyai hak yang jelas dalam melakukan sesuatu perkara selagi mana tidak bertentangan dengan Perlembagaan Negara.

Atas kebijaksanaan kepimimpinan dan tokoh kemerdekaan kita dulu, mereka telah berjaya merangka satu undang-undang tertinggi negara yang memberi jaminan kepada semua kaum dalam melaksanakan sesuatu perkara yang tidak mendatangkan kemudaratan.

Dalam tinta sejarah telah tercatat bahawa negara kita tidak mampu mencapai sebarang kemerdekaan daripada penjajah sekiranya tidak wujudnya perpaduan kaum antara melayu,cina dan india. Dengan rasa penuh bertanggungjawab dan cintakan negara,maka bersatulah pemimpin Melayu,Cina dan India sehingga kita benar-benar bebas dan merdeka pada 31 Ogos 1957.

Namun, keamanan dan keharmonian negara kita mula dirobek dan dihancurkan oleh sesetangah pihak yang mempunyai kepentingan politik kepartian mendendangkan kepada rakyat tentang isu-isu perkauman. Mereka terus meluahkan kebencian mereka kepada kaum-kaum tertentu dengan fitnah dan tohmahan yang tidak berasas sehingga terdapat sebahagian daripada kita mula termakan dengan kata-kata nista mereka.

Menggunakan istilah-istilah tertentu untuk memberi keyakinan kepada rakyat bahawa mereka merupakan pejuangan bangsa dan agama yang sebenar. Tetapi,sebenarnya adalah petualang yang cuba untuk merampas keharmonian negara kita dengan menunggang nama bangsa dan agama.

Kita sedar bahawa golongan yang memainkan isu-isu perkauman dan agama ini mempunyai niat buruk yang jelas dan mereka hanya mementingkan diri dan kumpulan tertentu sahaja. Rakyat dibawah masih hidup seperti biasa.

Kemunculan wabak Covid-19 telah membuktikan bahawa masyarakat dinegara kita saling menyayangi antara satu sama lain. Ini dibuktikan bahawa terdapat segolongan kaum Melayu yang membantu kaum Cina, segolongan kaum cina membantu kaum India dan sebagainya. Tidak timbul isu perkauman dalam mendapani ujian yang melanda kita semua.

Tuntasnya, sikap toleransi merupakan kunci keamanan dan keharmonian di negara kita da jangan sesekali kita menyerahkan kunci keamanan ini kepada individu yang tidak bertanggungjawab. Bak kata pepatah, bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.

Muhammad Azha Salahudin
Penulisan dan aktivis NGO