Adi Farhan Isa

KUALA LUMPUR – Pencarum yang layak mengeluarkan i-Sinar diingatkan supaya bijak menggunakan wang tersebut untuk menjalani kehidupan dan tidak membazirkannya untuk perbelanjaan tidak penting.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Adi Farhan Isa berkata, pengurusan kewangan yang bijak dapat memastikan rakyat yang terjejas akibat Covid-19 dapat terus bertahan.

“Sesungguhnya segala usaha yang dilakukan oleh Kerajaan PN (Perikatan Nasional) sepanjang tempoh pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah untuk memastikan rakyat dapat terus menikmati kesejahteraan hidup,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Adi Farhan berkata, biarpun sebelum ini terdapat pelbagai rintangan dalam meluluskan pengeluaran i-Sinar tanpa syarat ternyata kerajaan PN sentiasa mendengar denyut nadi dan keperitan hidup rakyat.

Katanya, Biro Keusahawanan Armada Nasional melihat keputusan terbaharu itu bakal memberi impak yang besar kepada rakyat yang terjejas pendapatan mereka.

“Kami berharap dengan pemansuhan syarat pengeluaran i-Sinar ini dapat melahirkan lebih ramai usahawan IKS (Industri Kecil dan Sederhana) baru kerana mereka boleh menggunakan wang pengeluaran itu sebagai modal permulaan atau memperkukuhkan perniagaan sedia ada.

“Kita menyedari sejak berlakukan penularan wabak Covid-19 ini banyak perniagaan terjejas, ada pekerja yang kehilangan kerja dan ramai juga mengalami pengurangan pendapatan.

“Jadi, pengeluaran i-Sinar ini mampu membantu golongan peniaga menampung kemelesetan ekonomi, pekerja yang dibuang kerja mungkin dapat menggunakan wang itu sebagai modal perniagaan dan membina pendapatan baharu,” ujarnya.

Minggu lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dilaporkan berkata, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedang dalam proses memansuhkan syarat kemudahan i-Sinar.

Ini katanya, berikutan nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya KWSP menambahbaik inisiatif tersebut setelah mengambil kira maklum balas pihak awam.- MalaysiaGazette