Abdul Rahman Bakar berpelukan dengan Abdul Hadi dalam satu majlis.- Gambar ihsan FB Abdul Rahaman.

KUALA LUMPUR – Bekas wakil rakyat yang pernah menjadi ‘musuh’ kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendoakan Presiden Pas itu segera sembuh.

Datuk Seri Abdul Rahman Bakar yang juga bekas timbalan menteri dari UMNO itu berharap Abdul Hadi kembali bertugas seperti biasa.

“YB Datuk Seri Haji Hadi Awang di IJN (Institut Jantung Negara) akibat sesak nafas dan serangan jantung. Semoga beliau cepat sembuh dan kembali balik bertugas sebagai Ahli Parlimen Marang dan Duta Malaysia ke Timur Tengah. Amin,” tulisnya di Facebook hari ini.

Mengimbas semula sejarah bersama Abdul Hadi, beliau dan pemimpin Pas itu seri dalam empat pilihan raya umum di mana kedua-duanya menjadi calon bertanding di Parlimen Marang di Terengganu.

“Saya pernah berlawan dengan YB Hadi Awang sebanyak empat kali, pada tahun 1986 saya menang. Tahun 1990 saya kalah, tahun 1995 saya kalah dan tahun 2004, saya menang.

‘Jadi dua kali menang dan dua kali kalah. Jadi seri,” katanya lagi.

Ketika pertama kali mengalahkan Abdul Hadi beliau dikenali sebagai Giant Killer dalam kalangan ahli UMNO.

Pada PRU 2008, Abdul Rahman tidak bertanding dan dilantik senator selama dua penggal sehingga tahun 2014.

Difahamkan semasa kerjasama Pas dan UMNO dimeterai dalam Muafakat Nasional, Abdul Rahman juga antara individu yang gembira dengan kerjasama antara kedua-dua parti Melayu itu.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Abdul Hadi dirawat di IJN