Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Tan Sri Annuar Musa memberi amaran kepada pemimpin DAP supaya tidak menjatuhkan hukuman terhadapnya lebih awal daripada siasatan polis.

Menteri Wilayah Persekutuan berkata, tindakan menghukum secara membabi buta sememangnya cara DAP.

“Tak perlu DAP nak menghukum sebelum siasatan kerana itu cara DAP. Biar polis teruskan siasatan tanpa fear or favour (takut dan pilih kasih).

“Dapatkan fakta…sayakah menganjurkan jamuan? Di kedai? Restoran atau dalam farm (kebun)? Prosedur operasi standard (SOP) mana yang dilanggar…polis wajib buat keputusan,” katanya Ahli Parlimen Ketereh itu menerusi ciapan di Twitternya hari ini.

Dalam ciapan itu Annuar turut menyertakan ciapan DAP dalam Twitter yang antara lain mempersoalkan tindakannya yang didakwa melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan mahu beliau dikenakan tindakan tegas seperti rakyat biasa yang lain.

Semalam, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng meminta tindakan tegas dikenakan kepada Annuar dan menggesanya meminta maaf secara terbuka.

Sebelum ini, tular gambar menunjukkan Annuar dan beberapa individu sedang duduk menjamu makanan di meja melebihi dua orang.

Gambar tersebut mendapat kecaman netizen yang mempersoalkan mengenai arahan pematuhan SOP oleh mereka yang hadir.

Annuar dalam dalam hantaran di Facebook kemudiannya memaklumkan dirinya terpaksa beredar dari meja makan itu lebih awal berikutan kegagalan penganjur mematuhi arahan SOP.

Susulan kejadian itu juga, satu surat arahan dikeluarkan pejabat Menteri Wilayah Persekutuan bertarikh semalam meminta kehadiran pegawai dan orang ramai mesti tidak melebihi 10 orang dalam aktiviti yang dihadiri menteri.

Surat itu juga memaklumkan, tiada jamuan makan dan minum disediakan, malah semua pihak yang hadir perlu memastikan penjarakan satu meter dipatuhi.

Rentetan itu, penganjur program pertanian yang dihadiri Annuar memohon maaf berikutan kegagalan pihaknya mematuhi SOP ditetapkan dalam PKP. – MalaysiaGazette