Eksekutif Sous, Mohd Fauzi Mokhtar bercakap kepada media ketika berada di hadapan Hotel Perdana, City Centre, Kuala Lumpur. Foto SHAFIY ZUL, 16 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Menjadi tukang masak ‘dari dapur mewah ke gerai tepi jalan’ merupakan cabaran buat Mohd Fauzi Mokhtar.

Walaupun chef berkenaan sudah berpengalaman selama 30 tahun di Hotel Perdana, City Centre di sini namun kini terpaksa memasak di jalanan bagi pihak hotel.

Kini sudah menjadi rutin kepada Mohd Fauzi memasak bersama  pekerja  pukul 11 pagi setiap hari dan menjual makanan di gerai tepi jalan di luar hotel berkenaan.

Inisiatif itu terpaksa dilakukan demi kelangsungan hidup dan operasi hotel susulan perniagaan mereka susut sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Eksekutif Saus, Mohd Fauzi Mokhtar (kanan) memeriksa lauk di gerai yang berada di hadapan Hotel Perdana KLCC, Kuala Lumpur. Foto SHAFIY ZUL, 16 FEBRUARI 2021.

“Perniagaan ini sudah mula kami jalankan sejak PKP 2.0, di mana kami menyediakan pelbagai lauk pauk yang berbeza pada setiap hari.

“Makanan yang disediakan adalah terbuka untuk semua terutamanya orang yang tinggal dan lalu lalang di sekitar sini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Menurut Mohd Fauzi, pihaknya juga menyediakan menu masakan tradisional India dan Cina namun masakan Melayu adalah menu utama.

Kakitangan hotel mengikut Prosedur Operasi Standard dengan memakai sarung tangan ketika menyediakan minuman susulan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 di gerai yang berada di hadapan Hotel Perdana KLCC, Kuala Lumpur. Foto SHAFIY ZUL, 16 FEBRUARI 2021.

“Pelanggan tidak perlu risau aspek kebersihan makanan kerana kami menjaga kebersihan dengan menutup semua makanan menggunakan plastik walaupun gerai berdekatan dengan kawasan pembinaan,” ujarnya.

Beliau berkata, sejak pihak hotel membuka gerai di tepi jalan, ia mendapat sambutan menggalakkan terutama pelanggan yang tinggal berdekatan dan datang membeli makanan seawal jam 11 tengahari.

“Alhamdulillah, sambutan sangat menggalakkan walaupun ia menyukarkan namun harus ditempuhi demi kelangsungan hidup,” katanya.

Pelanggan yang datang mengikut Prosedur Operasi Standard ketika membeli makanan dan minuman di gerai yang berada di hadapan hotel di Hotel Perdana KLCC, Kuala Lumpur. Foto SHAFIY ZUL, 16 FEBRUARI 2021.

Mengulas lanjut, Mohd Fauzi berkata, ini merupakan salah satu cabaran buat mereka namun ia harus diteruskan dan perlu dijadikan sebagai norma baharu dalam kehidupan sekarang.

“Saya percaya, semua orang merindukan keadaan yang lama (tanpa Covid-19) kerana bukan sahaja kami terjejas, perniagaan lain juga turut terkena tempias,” tambahnya. – MalaysiaGazette