Noorzainy (kiri) menyantuni keluarga OKT yang memerlukan bantuan.

BUTTERWORTH – Ibu dalam penjara, empat anaknya terpaksa menumpang kasih nenek.

Itu kisah sedih empat beradik yang berusia dalam lingkungan tiga hingga 11 tahun yang dipelihara oleh neneknya yang hanya mahu dikenali sebagai Shahrom di Pangsapuri Ampang Jajar hari ini.

Menurut Shahrom, hidupnya bersama keempat-empat cucunya dan bergantung ihsan kepada adiknya yang bekerja sebagai mekanik.

“Ibu mereka ini (cucu-cucunya) merupakan anak tunggal saya dan dia tidak pernah mempedulikan anak-anaknya sejak mereka dilahirkan.

“Walaupun saya menghidap kencing manis dan agak mencabar untuk membesarkan mereka saya tetap gagahkan diri demi memastikan mereka tidak terabai,” katanya ketika ditemui selepas dikunjungi Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor di kediamannya hari ini.

Shahrom juga berkata, kehidupannya kini dalam dilema kerana mendakwa  mungkin mereka akan ‘diusir’ dari rumah sewanya kerana mempunyai hutang tertunggak bayaran rumah sewa selama tiga tahun.

Sementara itu, Noorzainy berkata, pihaknya mendapat tahu mengenai kesusahan wanita berkenaan yang juga ibu kepada suspek wanita berkenaan dalam menguruskan kehidupan harian empat cucunya.

Katanya, wanita berusia 53 tahun itu tidak bekerja susulan empat cucunya itu memerlukan penjagaan sepenuh masa kerana menghidap hiperaktif atau ADHD (Attention-Deficit Hyperactivity Disorder).

“Ini merupakan satu program tanggungjawab sosial kepada masyarakat tambahan pula kedua-dua suspek itu ditahan oleh polis SPU.

“Kita tampil menyantuni mereka serta menghulurkan sumbangan wang tunai dan keperluan harian bagi meringgankan beban mereka. Sumbangan itu merupakan hasil kutipan anggota dan pegawai polis SPU,” katanya kepada pemberita.

Untuk rekod, ibu kepada empat kanak-kanak malang itu berusia 26 tahun ditahan pada Mac lalu manakala bekas suaminya dua bulan kemudian.

Suspek wanita kini ditempatkan di Penjara Jawi manakala lelaki di Penjara Pulau Pinang sementara menunggu perbicaraan.

Dalam pada itu, Shahrom mengucapkan terima kasih kepada pasukan polis yang meluangkan masa menjenguk mereka sekeluarga serta menghulurkan sumbangan.- MalaysiaGazette